Pelan induk dirangka tangani isu kemiskinan di Kuala Lumpur

Estimate Reading Time: 1 minute

PUTRAJAYA, 5 Dis — Pelan Induk Pembasmian Miskin Bandar akan diwujudkan khusus bagi menangani isu kemiskinan secara holistik di Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

-Advertisement-

Beliau berkata pelan itu akan digubal oleh pasukan petugas khas yang diberi masa antara enam dan sembilan bulan untuk menyediakannya berdasarkan dapatan daripada siri seminar dan percambahan fikiran melibatkan wakil kerajaan, pihak swasta, ahli akademik, pakar ekonomi dan orang ramai.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa pelan induk dibuat untuk Kuala Lumpur namun belum ada yang menjurus semata-mata kepada kemiskinan bandar.

“Kita mahu hasilkan pelan yang boleh dijadikan panduan oleh kementerian dan agensi berkenaan untuk mengatasi isu kemiskinan bandar di Kuala Lumpur secara total, seiring dengan tahap kemajuan di ibu negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar membasmi kemiskinan bandar di sini hari ini.

Dalam membangunkan pelan tersebut, Khalid berkata definisi miskin bandar perlu ditakrif semula kerana ketika ini pendapatan RM4,000 sebulan yang dikatakan sebagai miskin bandar dilihat tidak begitu tepat untuk menggambarkan situasi sebenar kemiskinan penduduk di Kuala Lumpur jika mengambil kira tanggungan isi rumah.

-Advertisement-

Khalid berkata pihak terbabit perlu menjalankan bancian untuk mendaftar dengan terperinci orang miskin di Kuala Lumpur dan mewujudkan Daftar Orang Miskin kerana profil dan perangkaan yang tepat akan membantu pelaksanaan pelan pembasmian miskin bandar yang lebih berkesan.

“Kita akan terus guna senarai daftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Negara atau e-Kasih atau yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi dalam masa sama kita perlu perlu ada Daftar Orang Miskin sendiri khusus untuk Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata kementerian akan menubuhkan sebuah badan pemikir sebagai wahana dalam menjana pandangan dan solusi berhubung isu kemiskinan dan kesesakan trafik di Kuala Lumpur.

Ia sebagaimana Selangor yang menubuhkan Institut Darul Ehsan (IDE), badan pemikir yang akan ditubuhkan itu bakal disertai mereka yang berpengalaman dengan senario Kuala Lumpur, katanya.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427