KKD audit liputan internet di 4,000 lokasi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyasarkan proses audit membabitkan sekurang-kurangnya 4,000 lokasi di seluruh negara dalam usaha menangani masalah kualiti perkhidmatan internet.

-Advertisement-

Timbalan Menteri, Teo Nie Ching, berkata setakat semalam, sebanyak 1,089 lokasi telah diaudit dan seterusnya akan melalui proses analisis.

“Audit kualiti perkhidmatan bagi 2023 akan terus dijalankan dengan sasaran lebih tinggi, sebanyak 4,000 lokasi di seluruh negara. Ia dilaksanakan di bawah Standard Mandatori bagi memastikan pemberi perkhidmatan terus patuh dan menyelesaikan masalah kualiti perkhidmatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang ingin tahu apakah tindakan KKD dalam menyelesaikan isu liputan internet yang sering terganggu dan tidak stabil sewaktu musim perayaan, khususnya di kawasan luar bandar.

Memperincikan dapatan audit yang dijalankan SKMM pada 2022, Nie Ching berkata, sebanyak 20 Arahan Suruhanjaya telah dikeluarkan kepada pemberi perkhidmatan yang gagal mematuhi Standard Mandatori.

Daripada jumlah itu, 19 lokasi berkenaan membabitkan lokasi di Sarawak.

Jelasnya, setakat ini, pemberi perkhidmatan mematuhi arahan berkenaan dengan mengoptimumkan atau menaik taraf menara sedia ada.

-Advertisement-

“Berkenaan masalah kualiti liputan ketika musim perayaan, secara umumnya, pihak penyedia perkhidmatan berusaha meningkatkan kapasiti liputan di kawasan tumpuan (ketika perayaan) di seluruh negara.

” Masalah gangguan liputan turut berpunca daripada isu bekalan elektrik terputus, kerosakan ke atas peralatan komunikasi atau insiden vandalisme seperti kes kecurian bateri sandaran dan set penjana elektrik,” katanya yang turut memaklumkan, berdasarkan rekod dilaporkan penyedia perkhidmatan, sebanyak 37 insiden vandalisme termasuk kecurian berlaku di tapak menara di Sarawak dar awal 2022 hingga April lalu.

Jelasnya, situasi itu bukan sahaja menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan telekomunikasi, malah mengakibatkan kerugian yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit.

Menyentuh inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan, beliau berkata, penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik antara alternatif bagi memastikan jaringan dan liputan internet diperluas meliputi sekolah, kawasan luar bandar dan pendalaman seluruh negara.

“Secara keseluruhan, fasa satu bagi projek PoP akan membabitkan 630 lokasi berhampiran sekolah dan fasa dua pula membabitkan 3,693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara.

“Sekurang-kurangnya sebanyak 432,000 premis akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap kelak,” katanya.

-Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427