JOHOR BAHRU: Penyokong UMNO terutamanya generasi muda tidak mempunyai masalah untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH) termasuk daripada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah, berkata ini kerana generasi muda kini celik politik dan tidak lagi terikat dengan pelbagai sentimen negatif yang dimainkan generasi terdahulu.
Beliau berkata, generasi muda, termasuk penyokong UMNO kini berdepan dinamik politik baharu berikutan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH.
“Untuk orang muda, saya rasa tiada masalah (undi calon DAP). Ini kerana negara sedang berdepan hala tuju dan dunia baharu dalam politik tempatan, ini adalah satu dinamik baharu.
“Undi memang rahsia, tetapi saya harap anak muda dapat lihat momentum kerajaan hari ini untuk memacu negara ke arah lebih baik. Jadi, biarlah mereka mengundi calon yang tujuannya untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Sentimen yang dimainkan generasi terdahulu seperti Melayu rasis, Cina rasis itu sudah hilang selepas kita bekerjasama. Kini, masing-masing dilihat memahami satu sama lain, isu kecil tidak perlu diperbesarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd Hairi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang menggesa penyokong UMNO mengundi calon DAP pada PRN.
Mohd Hairi berkata, parti pembangkang juga tidak perlu menjadikan isu terbabit sebagai isu politik.
“Kini, semua parti politik sudah pernah bekerjasama. Dahulu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS sendiri bekerjasama dengan DAP, ketika itu UMNO tidak cakap apa-apa.
“Hari ini, mereka (BERSATU dan PAS) cakap-cakap tentang UMNO dan DAP pula, sedangkan dahulu mereka sendiri pernah bekerjasama. Jadi, bermaksud tiada halangan untuk BN dan PH bekerjasama,” katanya.
– Berita Harian