RM8.2j naik taraf sistem keselamatan kereta kabel Langkawi

Estimate Reading Time: < 1 minute

LANGKAWI: Syarikat pengendali kereta kabel SkyCab, Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi) membelanjakan RM8.2 juta bagi menaik taraf sistem keselamatan kemudahan itu demi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

-Advertisement-

Sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan untuk pemasangan sistem kawalan kereta kabel dikenali sebagai D-Connect dan RM3.8 juta lagi untuk projek pemasangan interkom dan peranti maklumat dalam gondola.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, berkata menerusi D-Connect, pengendali kemudahan itu dapat mengesan kerosakan dengan cepat, manakala interkom pula membolehkan komunikasi dua hala ketika kecemasan.

“Paling menarik, sistem D-Connect boleh diakses menerusi internet dan syarikat yang membangunkan kereta kabel, Doppelmayr dari Austria boleh melakukan diagnostik kerosakan secara dalam talian.

-Advertisement-

“Ini antara nilai tambah yang kita lakukan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung berada pada tahap tertinggi, khususnya menjelang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23),” katanya pada sidang media selepas pelancaran sistem D-Connect, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Dr Azmil Munif Mohd Bukhari dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi, Abu Hashim Abd Rahman.

Wan Kamarul Faisal menambah, peranti maklumat itu dipasang dalam setiap gondola dan membantu pengguna mendapat maklumat berkaitan produk pelancongan, sekali gus menjadikan percutian mereka ke pulau itu pengalaman yang menyeronokkan.

Panorama Langkawi adalah anak syarikat LADA, dipertanggungjawab mengendali perkhidmatan kereta kabel, antara produk pelancongan popular di pulau pelancongan itu sejak 20 tahun lalu. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427