Pembenihan awan di tujuh empangan akibat cuaca panas – Ahmad Zahid

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melakukan pembenihan awan di tujuh kawasan empangan mengalami pengurangan paras air berikutan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

-Advertisement-

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tujuh kawasan itu membabitkan Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Simi Lajau di Sarawak.

Katanya, walaupun arahan segera untuk melaksanakan proses itu sudah dikeluarkan, ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk awan, angin dan cuaca.

“Beberapa keputusan dan pandangan, soal pembenihan awan dilakukan dengan segera, kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) di beberapa kawasan empangan air.

“Kita menumpukan kepada tujuh kawasan yang dijangka paras air menurun dan ini akan menyebabkan bekalan air terjejas dan petang ini saya akan terus ke Sungai Muda serta Sungai Kedah untuk melihat sendiri keadaan di sana dan mengambil tindakan segera iaitu dari segi pembenihan hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut mengambil keputusan mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk bersiap siaga mengagihkan air minuman dan bagi kegunaan domestik dengan kerjasama syarikat air serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

-Advertisement-

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mengenal pasti 406 lokasi utama dijangka berlaku kebakaran terbuka terutama membabitkan kawasan bertanah gambut.

“Sebanyak 616 operasi pemantauan 24 jam di kawasan yang selalu berlaku kebakaran dilaksanakan, terutama di kawasan seperti kebun, ladang, hutan, belukar dan kawasan sampah.

“Begitu juga kita mempunyai 101 ‘tube well’ (telaga air bawah tanah) di kawasan tanah gambut di mana kita melakukan penyedutan air bagi memadamkan kebakaran selain penggunaan jentera bomba,” katanya.

Katanya, pemantauan juga dilakukan melalui 47 menara tinjau di mana Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan bomba mengoperasikan menara tinjau ini.

“Kita akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua menara tinjau ini untuk memantau kawasan yang terbakar,” katanya.

-Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427