Zahid ingatkan wakil rakyat pembangkang jangan lagi mainkan isu sensitif

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat untuk memastikan tiada lagi isu sensitif membabitkan kaum dan agama dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang, khususnya daripada Barisan Nasional (BN).

-Advertisement-

Ahmad Zahid juga berharap isu membabitkan kenyataan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mengaitkan abu di dahi RSN Rayer (PH-Jelutong) dengan abu mayat Chin Peng, berakhir dan tidak lagi berulang.

Beliau turut menegaskan kenyataan Tajuddin itu adalah pandangan peribadinya dan tidak berkait dengan UMNO atau BN.

“Saya prihatin terhadap sebarang isu sensitif membabitkan agama. Itu pandangan beliau sendiri dan harus diingat, beliau sudah menarik balik kenyataan itu.

“Seperti yang disebut Speaker, perkara itu sudah selesai dan saya harap mana-mana pihak menerima permohonan maaf itu dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.

“Saya harap isu ini selesai dan Ketua Pembangkang mengingatkan Ahli Parlimen pembangkang terutama BN, jangan mainkan lagi isu sensitif dan menghormati hormat semua agama,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) kini adalah Ketua Pembangkang.

Ditanya sama ada hukuman penggantungan menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari cukup untuk menjadi pengajaran kepada Tajuddin, Ahmad Zahid memaklumkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menerima tindakan berkenaan dengan baik.

-Advertisement-

“Penggantungan itu diterima dengan baik oleh Tajuddin. Saya fikir bukan hanya beliau, mana-mana Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan kena patuhi etika persidangan Dewan Rakyat,” katanya.

Semalam, isu abu mayat Chin Peng mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat hingga Tajuddin dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) diarah keluar dan digantung menghadiri persidangan selama dua hari, bermula semalam.

Dewan mula panas ketika Rayer mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sama ada Kementerian Pendidikan bersetuju memasukkan tokoh politik PH seperti Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan mendiang Karpal singh dalam silibus Sejarah.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang kemudian menepuk meja sambil berkata `komunis! komunis! komunis’, sebelum Tajuddin mencelah bertanya Rayer sama ada abu di dahinya adalah abu mayat Chin Peng yang juga bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM).

Ia menyebabkan Dewan kecoh dengan sejumlah Ahli Parlimen PH mendesak kenyataan itu ditarik balik, sebelum Tajuddin bersetuju menarik balik perkataan berhubung `abu mayat Chin Peng’ dengan syarat Rayer juga menarik balik tuduhan BN parti rasis. Rayer kemudian bersetuju berbuat demikian.

Isu `abu mayat Chin Peng’ kembali menghangatkan Dewan Rakyat apabila Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu sangkaan jahat terhadap Ahli Parlimen, merujuk dakwaan Tajuddin bahawa Rayer menggunakan calit abu mayat Chin Peng.

Poay Tiong kemudian mencelah meminta Tajuddin dikenakan tindakan kerana kerap membangkitkan isu rasis dan menghina kaum, sebelum berperang mulut dengan Tajuddin, menyebabkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, mengarahkan kedua-dua mereka keluar dan digantung dua hari kerana tidak mendengar arahan dan mengganggu persidangan.-BHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427