KUALA LUMPUR: Laporan polis akan dibuat esok terhadap Raja Petra Kamaruddin, berhubung penulisan terbaru, kononnya tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng adalah perancangan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.
Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan penulisan Raja Petra bertajuk ‘The Fake Ashes Of Chin Peng’ yang dimuat naik menerusi blognya, Malaysia Today, hari ini adalah satu fitnah jahat.
“Raja Petra membuat fitnah jahat dengan mendakwa kononnya tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng adalah perancangan Timbalan Menteri Pertahanan.
“Timbalan Menteri Pertahanan tidak pernah membuat sebarang komen tentang perkara terbabit dan memandang serius tulisan fitnah Raja Petra,” katanya.
Kenyataan itu menyebut, Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan akan membuat laporan polis terhadap fitnah itu, esok.
“Buat masa ini, semua pihak diminta bertenang dan tidak menyebarkan fitnah jahat berkenaan,” kata kenyataan itu lagi.
Laporan polis berhubung perkara itu akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada jam 11 pagi.-BHarian