KTMB tawar 4.4 juta tiket ETS, KTM Intercity

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 4.4 juta tiket membabitkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity bagi perjalanan selama lima bulan, bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini.

-Advertisement-

Sehubungan itu, jualan tiket akan mula dibuka pada jam 10 pagi Isnin ini membabitkan 1.8 juta tiket ditawarkan untuk perkhidmatan ETS, manakala 2.6 juta bagi KTM Intercity.

KTMB dalam satu kenyataan, berkata jualan tiket itu dibuka untuk tempoh enam bulan akan datang bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutama untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, Deepavali dan Hari Natal.

“Orang ramai juga boleh merancang untuk pulang ke kampung ketika musim cuti sekolah atau bercuti di dalam negara.

“KTMB turut menawarkan dua perkhidmatan ETS tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya bagi perjalanan bermula 26 Mei hingga 5 Jun ini sempena cuti sekolah penggal pertama dan cuti umum.

“Sebanyak 6,930 tiket ditawarkan sepanjang tempoh yang dinyatakan, malah jualan tiket tren tambahan ini juga akan dibuka mulai Isnin ini,” katanya.

Pada masa sama, KTMB berkata pihaknya juga akan memperkenalkan tambang promosi maksimum RM10 bagi laluan antara Stesen Sungai Petani ke Stesen Padang Besar dengan menggunakan kod promosi ETSBERBALOI bagi tren ETS Platinum (KL Sentral-Padang Besar).

Katanya, ia membabitkan EP9272, EP9274, EP9276, EP9278 dan ETSBERBALOIGOLD untuk tren ETS Gold (Gemas – Padang Besar) iaitu EG9420.

-Advertisement-

“Bagi laluan Gemas KL Sentral Gemas pula, sebanyak 50 peratus diskaun perjalanan ditawarkan dengan menggunakan kod promosi JIMATGEMAS.

“la membabitkan tren ETS EG9321, EG9322, EG9420 dan EG9425, tempoh promosi ini bermula 15 Mei hingga 31 Disember ini, namun tambang promosi hanya boleh dibeli dalam masa 24 jam sebelum tren berlepas melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), kaunter tiket, kiosk atau di laman sesawang KTMB,” katanya.

Menurut KTMB, promosi yang ditawarkan itu dapat memberikan pilihan kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan kereta api selain menjimatkan kos seharian mereka.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati kadar tambang yang lebih rendah dan jimat selain disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau membuat pembelian menerusi laman sesawang KTMB.

Sementara itu, KTMB memaklumkan ETS kekal menggunakan jadual waktu perjalanan sedia bagi 32 perkhidmatannya setiap hari, begitu juga KTM Intercity dengan 53 perkhidmatan sehari.

Namun, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (No 26) dan Shuttle Timuran (No 51, 52, 53, 55, 56, 57, 60, 34, 37) akan mengalami perubahan jadual waktu berlepas di stesen.

Bermula 1 Julai ini, waktu berlepas bagi tren bernombor 26 di stesen Kuala Krau adalah pada jam 4.20 pagi; 51-Bertam Baru (8.26 pagi); 52-Dabong (7.08 pagi); 53-Kuala Kerai (8.41 pagi); 55-Wakaf Bharu (10.15 pagi); 55-Temangan (11.32 pagi); 56-Tanah Merah (5.01 petang); 57-Kuala Krai (5.48 petang).

Tren bernombor 57 dari Stesen Dabong pula akan berlepas pada 7.47 malam; 60-Kuala Krai (9.49 malam); 34-Mentakab (12.08 tengah hari) dan 37-Mentakab (6.07 petang). – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427