Amaran angin kencang, laut bergelora di perairan negara hingga Ahad ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua serta ribut petir membabitkan beberapa kawasan perairan, berbahaya kepada aktiviti laut dan pantai mulai hari ini hingga Ahad.

-Advertisement-

Menurut laman sesawang METMalaysia, bagi Seksyen A iaitu perairan Malaysia, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang barat laut berkelajuan 40 kilometer sejam (kmsj) hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m).

Situasi itu dijangka berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Perak yang berlarutan sehingga Ahad ini dan berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang juga diramal berlaku di kawasan perairan Sabah Timur sehingga jam 3 petang ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil.

“Bagi Seksyen B iaitu untuk perkapalan, amaran sama kategori kedua iaitu angin kencang barat laut berkelajuan 50 kmsj hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m pula dijangka di kawasan perairan Phuket hingga Ahad ini.

-Advertisement-

“Ia berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

“Amaran sama bagi kategori pertama iaitu angin kencang barat laut berkelajuan 40 kmsj hingga 50 kmsj dengan ombak sehingga 3.5m juga dijangka di kawasan perairan Selat Melaka utara berlarutan sehingga Ahad ini.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.

Sementara itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Selat Melaka utara, barat Samui dan Condore hingga jam 3 petang ini.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 m dan berbahaya kepada bot kecil,” katanya. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427