Syarikat kredit komuniti gagal serah dokumen pinjaman kepada peminjam

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Sebuah syarikat kredit komuniti dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas tiga kesalahan berkaitan pinjaman kewangan, termasuk tidak menyerahkan salinan dokumen pinjaman kepada peminjam, Jun lalu.

-Advertisement-

Tertuduh, syarikat Pinjam Gadai SGTV Sdn Bhd, yang diwakili Pengarahnya, Tan Eng Hwa, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan, yang dibacakan di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.

Syarikat itu didakwa atas kesalahan melambatkan pegawai polis melaksanakan tugasnya mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).

Syarikat itu didakwa di bawah perenggan 101(1)(b) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan boleh dihukum mengikut subseksyen 101(2) akta sama.

Bagi pertuduhan pertama itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua membabitkan kesalahan tidak menyerahkan dokumen perjanjian pemberian pinjaman wang bercagar yang disetemkan secara sah kepada peminjam.

Rentetan itu, pihak syarikat didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 16(1) Akta 400 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 16(2) akta sama.

-Advertisement-

Bagi pertuduhan ketiga pula, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan mengeluarkan dua iklan dalam bentuk kain rentang, yang tertera ‘Drive Thru Pawn Shop’ tanpa permit iklan sah daripada Pendaftar Pemberi Pinjam Wang.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 11(1) Akta 400 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 11(2) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya

Semua kesalahan itu dituduh dilakukan pada 14 hingga 16 Jun 2022 di No 19, Jalan Camar 4/5A, Kota Damansara, Seksyen 4, Petaling Jaya, di antara jam 11.30 pagi hingga 12.15 tengah hari.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafi Basri, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Eng Seng dan Chong Ho Yan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, BH mendedahkan modus operandi syarikat pengendali kredit komuniti yang menekan peminjam dengan faedah melampau, mengugut dan mengancam peminjam, selain tidak diberi salinan perjanjian pinjaman. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427