Orang ramai dinasihat guna bekalan air diiktiraf SPAN

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLANG: Orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan bekalan air bawah tanah tanpa sebarang kawalan dan saringan terutamanya dalam memenuhi keperluan bekalan air sepanjang musim panas ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia berikutan air bawah tanah mungkin mempunyai kandungan logam tinggi yang akan memberikan kesan kepada kesihatan.

“Di peringkat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kita ada kualiti dan piawai yang telah ditetapkan.

“Cuma ada beberapa kawasan ini, usaha untuk mengambil air bawah tanah dibuat sendiri dan tidak ikut pihak berkuasa. Justeru, kita kena pantau.

“Apa terbaik ialah menggunakan bekalan air yang mendapat pengiktirafan daripada SPAN. Itu nasihat kerajaan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Beg Kitar Semula Madani dan Kempen Tanpa Beg Plastik di Wisma 99 Speedmart, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat sebarang kuantiti penggunaan air tanah dibenarkan bagi menampung sekiranya berlaku gangguan bekalan air ketika musim panas.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, kementeriannya secara keseluruhan sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat cuaca panas dan kering yang dijangka berlarutan sehingga Ogos depan.

Katanya, ia termasuk memantau rapat di kawasan yang terkesan akibat cuaca berkenaan terutamanya negeri di utara Semenanjung membabitkan isu seperti masalah bekalan air, pembakaran terbuka dan kebakaran di tanah gambut.

“Di kawasan utara semenanjung terutamanya mengalami cuaca kering, tetapi kalau ikut ramalan (kaji cuaca), ia akan sampai ke seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, kita tengok dalam beberapa minggu ini di Lembah Klang, hujan masih turun, namun kita akan terus pantau dan lihat pada ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“SPAN juga sudah mengadakan perbincangan dengan operator air di seluruh negara untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi setiap negeri,” katanya. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464