KUALA LUMPUR: Bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang terjejas akibat insiden tanah runtuh pada Selasa lalu, dijangka dibuka dan boleh digunakan semula, 18 Mei depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembukaan semula kawasan itu akan dibuat selepas bekalan elektrik dan air serta sistem kumbahan dipulihkan, selain laluan sementara siap dibina.
“Itu berdasarkan penerangan yang diberikan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dan pasukan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada saya.
“Secara spesifik, tempoh tiga minggu itu diperlukan bagi membolehkan kerja sementara dilaksanakan, antaranya bagi pemasangan lembaran terpal atau tarpaulin sheet ke atas permukaan cerun terdedah, bermula pada Rabu lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, pemasangan sheet pile dan pembinaan laluan akses sementara akan mengambil masa dua minggu, bermula hari ini hingga 12 Mei depan.
Katanya, pemasangan Early Warning System (EWS) sebanyak enam nos sudah dibuat semalam, manakala empat nos lagi akan dipasang selepas kerja sheet pile selesai.
“Pemasangan utiliti sementara mengambil masa dua minggu, membabitkan Tenaga Nasional Bhd (TNB), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Telekom Malaysia (TM) dan sistem air kumbahan.
“Dalam pada itu, saya juga dimaklumkan, kerja pembaikan kekal dijangka mengambil masa maksimum selama dua tahun, membabitkan kerja mengukur, kajian penyiasatan tapak (SI), proses perolehan dan kerja pembinaan selama 12 bulan.
“Justeru, saya memohon kerjasama semua pihak supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Berita Harian