KUALA LUMPUR: Kerajaan boleh mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada bila-bila masa dan di mana sahaja, namun bukan dengan menggunakan dana awam atau wang kerajaan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata keadaan itu juga terpakai jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri di enam negeri, yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang dijadualkan.
“Tak salah jika Perdana Menteri mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Kedah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, dengan menggunakan wang PKR, wang Pakatan Harapan (PH) atau wang peribadi beliau.
“Namun, ia menjadi kesalahan, jika Perdana Menteri menggunakan wang Kerajaan Pusat atau Menteri-Menteri Besar dari negeri pimpinan PH (wang kerajaan negeri atau wang kerajaan tempatan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT)).
“Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa, termasuk jika kakitangan awam dan jentera kerajaan digunakan untuk mengendalikan rumah terbuka itu,” katanya menerusi hantaran Facebook, malam tadi.
Hassan berkata, biarpun Perdana Menteri mempunyai peruntukan untuk mengadakan majlis rasmi keraian seperti rumah terbuka, ia hanya di dikhususkan di suatu tempat, misalnya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.
Beliau menambah, rumah terbuka yang dianjurkan di enam negeri itu adalah fenomena baharu yang dibimbangi menyalahi kod etika dan undang-undang penggunaan wang awam.
“Satu ketika dulu, Perdana Menteri India, Indira Ghandi, pernah didapati menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen dalam pilihan raya sehingga menyebabkan kerajaannya tumbang.
“Akibatnya, Ghandi disabitkan bersalah dan dia bersama-sama kerajaan Kongres pimpinannya tumbang.
“Kita tentu tidak ingin melihat Perdana Menteri dan kerajaan Madani pimpinannya tumbang gara-gara rumah terbuka Aidilfitri,” katanya.
Beliau menjelaskan, perbelanjaan kerajaan menerbangkan helikopter itu bukan persoalannya tetapi yang menjadi isu berlaku penyalahgunaan kuasa.
Katanya, kerajaan perlu berjimat memandangkan hutang negara ketika ini sudah mencecah RM1.5 trilion iaitu 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Selain itu, kerajaan sering memberitahu bahawa kerajaan sedang menanggung beban hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak RM18.2 billion,” katanya.
Beliau berkata, Anwar perlu terus menunjukkan kepimpinan melalui teladan, sekali gus tidak merosakkan imejnya menerusi beberapa contoh baik seperti tidak mengambil gaji dan elaunnya sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.
“Ia pertama dalam sejarah Malaysia Perdana Menteri membuat kerja dan memikul tanggungjawab secara pro bono, iaitu tanpa bayaran.
“Selain itu, Anwar juga membuat keputusan Menteri Kabinet mengalami pemotongan gaji dan elaun sebanyak 20 peratus. Ini semua langkah terpuji. Ia bukan retorik atau ‘lip service’. Pengorbanan yang dilakukan beliau dan menteri dalam Kabinetnya adalah perkara yang nyata dan ‘sebenar’,” katanya.
Hassan berkata, ramai pihak menyuarakan bantahan berikutan beranggapan perbelanjaan rumah terbuka di enam negeri itu akan menggunakan wang kerajaan dan secara kebetulan enam negeri itu bakal berlangsung PRN.
“Kita syorkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan yang wang kerajaan tidak digunakan untuk membiayai siri jelajah rumah terbuka itu.
“Perdana Menteri kena umumkan bahawa PKR dan PH serta Perdana Menteri secara peribadi akan gunakan wang sendiri.
“Pada masa sama, 84 Ahli Parlimen PH dan ratusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUn) PH di seluruh negara perlu dikerah supaya tampil ke hadapan membantu Perdana Menteri untuk menampung kos mengadakan rumah terbuka raya itu,” katanya. – Berita Harian