PM umum buah tangan Aidilfitri, apa anda perlu tahu

Estimate Reading Time: 3 minutes

PUTRAJAYA: Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba hujung minggu ini, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan beberapa ikhtiar khas bagi meringankan beban serta memberi kegembiraan kepada rakyat.

-Advertisement-

Mengumumkan ikhtiar itu, Perdana Menteri berkata, Tol Rahmah percuma akan diberikan kepada semua pengguna lebuh raya selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat dan pada Isnin depan.

Perdana Menteri berkata, pengecualian bayaran tol itu akan dilaksanakan ke atas semua jenis kenderaan membabitkan 33 lebuh raya.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan Tol Rahmah percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk dinikmati semua pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman.

“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung,” katanya pada sidang media, semalam.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Diskaun khas barang mentah untuk pengusaha menu Rahmah

Selain tol percuma, Perdana Menteri turut mengumumkan kadar diskaun khas harga barangan mentah akan diberikan kepada pengusaha menu Rahmah bagi memastikan kelestarian inisiatif itu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha menu Rahmah pada kadar diskaun khas.

“Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan menu Rahmah yang memberikan manfaat besar, khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya.

Anwar berkata kerajaan amat menghargai sumbangan pengusaha menu Rahmah yang sama-sama menjayakan aspirasi MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Pada masa yang sama, kerajaan turut cakna dan prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah,” katanya.

Lebih menggembirakan, Anwar turut mengumumkan PDRM akan memberikan Kadar Khas Bayaran Saman bermula 21 April hingga 21 Mei bagi semua saman trafik PDRM untuk kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya.

“Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023,” katanya sambil menambah bahawa PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan.

-Advertisement-

Op Lancar pada 18, 19 April

Bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Aidilfitri ini, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

Selain itu katanya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

“Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memastikan laluan-laluan hotspots seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” katanya.

Cuti hari kelepasan am tambahan sempena Aidilfitri

Kerajaan setuju memberi satu hari kelepasan am tambahan sempena Aidilfitri bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk sambutan hari raya dan pulang ke kampung halaman.

Perdana Menteri berkata sekiranya 1 Syawal jatuh pada Jumaat (21 April) maka kerajaan menetapkan 24 April iaitu Isnin sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Seandainya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu (22 April), maka kerajaan menetapkan hari Jumaat iaitu 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan.

“Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri bolehlah mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh berkenaan mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing,” katanya.

Pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Aidilfitri akan dibuat esok oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Perdana Menteri turut mengumumkan Jabatan Penjara akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI atau Kepulangan Yang Dinanti sempena Aidilfitri.

Katanya, ikhtiar itu memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga mereka.

“Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia membabitkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang Ramadan dan Syawal ini.

“Ia bagi membolehkan penghuni penjara merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427