KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) diharap dapat diguna pakai untuk mengakhiri manipulasi dan penindasan dalam industri teksi dan e-hailing.
Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) dalam kenyataan malam ini, berkata Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 yang baru diluluskan itu diharap tidak hanya digunakan untuk mengawal selia kadar bayaran penghantaran barangan dan makanan.
Sebaliknya, katanya, akta berkenaan akan diguna pakai sebaik mungkin bagi mengakhiri manipulasi dan penindasan dalam industri teksi dan e-hailing yang masih berlarutan.
“Kami merakamkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri atas usaha yang dilakukan.
“Kami yakin kebajikan penunggang perkhidmatan penghantaran barangan atau makanan menggunakan motosikal (p-hailing) akan lebih terjamin.
“Ini sekali gus mengakhiri perbuatan tidak bertanggungjawab pihak syarikat yang selama ini memanipulasi dan menindas pekerja p-hailing,” katanya.
Katanya, walaupun GTSM beroperasi dalam industri teksi, namun mereka turut merasai keperitan dihadapi rakan yang terbabit dalam p-hailing.
“Kami pernah bergabung dan membuat memorandum bersama pada 2 Februari 2020 dengan membuat tuntutan supaya kerajaan mengawal selia kadar pendapatan pekerja p-hailing.
“Namun malangnya kerajaan pada masa itu langsung tidak mempedulikan nasib kami,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keadaan kini sangat berbeza di bawah pentadbiran kerajaan Madani kerana dapat melihat banyak perkara baik dilakukan Menteri Pengangkutan.
“Jika dahulu e-hailing adalah pekerjaan bagi menjana pendapatan sampingan, tetapi hari ini perkhidmatan itu dijadikan sebagai pekerjaan tetap.
“Oleh itu sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan ‘Level Playing Field’ (ruang adil dan saksama) antara teksi dan e-hailing dan mengakhiri manipulasi serta penindasan syarikat kapitalis kepada rakyat bawahan (kami),” katanya.
Selain itu, katanya, GTSM berharap kerajaan akan memperhalusi dan mencerakinkan cadangan mereka supaya kerajaan sendiri memiliki aplikasi e-hailing untuk kesejahteraan rakyat Malaysia. – Berita Harian