Pembinaan kabel dasar laut pelaburan swasta, tak babit dana kerajaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pembinaan kabel dasar laut di negara ini kebanyakannya tidak membabitkan dana kerajaan, sebaliknya dilakukan pihak swasta menggunakan dana sendiri.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata syarikat yang terbabit melihat pembinaan kabel dasar laut berkenaan mempunyai nilai komersial dan atas dasar itu, mereka sanggup membinanya tanpa bergantung kepada dana kerajaan.

“Untuk kabel dasar laut sedia ada termasuk yang asas ataupun sistem kabel East-West dari Mersing ke titik terminasi di Kuching oleh Sacofa Sdn Bhd, itu semua menggunakan dana mereka sendiri.

“Kecuali daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menggunakan dana TM sendiri dan sedikit dana daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP),” katanya.

-Advertisement-

Nie Ching berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Apandi Mohamad berkenaan jumlah kos dikeluarkan kerajaan dalam pemasangan sistem kabel dasar laut, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, dana kerajaan pula digunakan untuk menjaga kawasan pedalaman yang tidak mempunyai nilai komersial dan tiada syarikat telekomunikasi yang berminat melabur membina menara baharu.

“Untuk itu kita guna dana kerajaan daripada USP untuk membina menara baharu di kawasan itu bagi memastikan seluruh Malaysia boleh dijaga,” katanya.– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427