Pesakit ramai di hospital, klinik kesihatan setiap Isnin ‘normal’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Suasana beberapa hospital dan klinik kesihatan di ibu negara hari ini penuh dengan orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan terutamanya di ruang pakar dan pesakit harian bukan perkara luar biasa.

-Advertisement-

Setiap bangku sudah diduduki pesakit sama ada warga emas dan golongan muda berkumpul di tempat yang sama, malah ada yang terpaksa berdiri kerana tempat duduk tidak mencukupi sementara menanti nombor giliran mereka dipanggil.

Ia juga kemungkinan susulan tindakan sekumpulan doktor kontrak yang kini berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan mengancam untuk melancarkan ‘mogok’ di seluruh negara bermula hari ini sehingga rabu sekali gus menyebabkan ramai doktor tidak dapat memberi khidmat kepada pesakit.

Menurut sumber Hospital Kuala Lumpur (HKL), memang agak ramai dan kelihatan penuh di beberapa kaunter pendaftaran dan jabatan lain dan situasi itu adalah perkara normal setiap Isnin dan juga faktor kependudukan di kawasan berkenaan.

Katanya, memang keadaan sebegitu di HKL kerana ramai yang mahu mendapatkan rawatan kesihatan dan mungkin tiada kaitan dengan apa-apa isu terkini.

“Berhubung isu mogok doktor kontrak berkenaan, setakat ini tiada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh pihak hospital, bagaimanapun HKL sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam tempoh terdekat bagi sebarang kejadian tidak diingini.

“Setakat ini pihak HKL tidak ada apa-apa maklumat berhubung perkara yang membabitkan perkara ini. Jika ada sebarang kenyataan rasmi, pihak pengurusan hospital akan memaklumkannya,” katanya kepada BH.

Tinjauan di Klinik Kesihatan (KK) Kota Damansara, orang awam yang mahu dikenali sebagai Rosmin, 57, berkata, susulan tindakan doktor kontrak yang mengadakan mogok akan menyebabkan operasi sektor kritikal lumpuh terutamanya di unit kecemasan hospital mahupun di ruang pesakit harian.

Beliau berkata, pesakit juga akan berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan rawatan dengan lebih cepat akibat kekurangan doktor.

-Advertisement-

“Rata-rata rakyat Malaysia kecewa dengan isu mogok doktor kontrak itu kerana proses mendapatkan rawatan akan menjadi lebih lewat disebabkan kekurangan kakitangan.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan atau inisiatif dalam menangani isu ini.

“Mogok tidak akan berlaku sekiranya mereka dijadikan sebagai doktor tetap. Isu ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan masih tiada tindakan diambil,”

“Walaupun teknologi semakin canggih, kalau masih kekurangan doktor tiada guna juga,” katanya.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Mohd Saiful, berhubung isu doktor kontrak berkenaan, beliau berkata, jika semua doktor kontrak terbabit diserap secara tetap perlu ada beberapa perkara perlu diubah.

Katanya, isu pelantikan kontrak staf adalah kerana jawatan sedia ada ketika ini sudah tepu dan paling penting membabitkan beban kewangan perbelanjaan tahunan serta tanggungan kerajaan kepada pencen pesara awam.

“Jika kerajaan melantik mereka secara tetap, bersediakah dengan kenaikan kos-kos tertentu seperti cukai pendapatan serta kos perubatan yang kini hanya bayar RM1 mungkin akan naik.

“Mungkin juga kerajaan akan mewajibkan pengambilan kad perubatan kepada orang awam.

“Apabila kos perubatan naik sudah tentu ada bantahan lagi. Kerajaan tidak boleh boleh puaskan hati semua orang. Bukan saja kerajaan ketika ini malah kerajaan mendatang sekali pun,” katanya. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427