KUALA LUMPUR: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengaut rasuah di negara ini.
Malah, tahap rasuah anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata hakikat yang berlaku ini mendatangkan imej yang amat buruk kepada Malaysia.
“Justeru itu, tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi online, macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya.
“Kita sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya. Komen yang biasa kita dengar ‘ia adalah kejadian terpencil’ sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini,” katanya.
Ahmad Khusairi berkata, rasuah berlaku dalam setiap inci kehidupan seorang pendatang asing ke negara ini.
“Antaranya termasuk dalam proses-proses seperti permohonan kuota pekerja asing oleh syarikat-syarikat; peranan ejen-ejen pekerja asing yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengenakan pelbagai yuran proses termasuk visa dan permit kerja dan merasuah penguat kuasa di pintu-pintu masuk negara untuk mempercepatkan proses keluar dan masuk PATI.
“Selain itu, penyalahgunaan visa pelajar asing bagi tujuan bekerja, berniaga dan terbabit dalam aktiviti tidak bermoral; melindungi kegiatan pelacuran, rumah urut, perjudian, macau scam; memonopoli sektor-sektor perniagaan secara tanpa lesen; bekerja di sektor-sektor pembinaan, perladangan, perniagaan dan perkhidmatan secara tidak sah dan mendapatkan kerakyatan dan sijil beranak dengan membayar rasuah.
“Rasuah juga berlaku apabila pemandu warga asing memandu tanpa lesen yang sah; tekong-tekong darat yang menyeludup pendatang tanpa izin masuk melalui lorong-lorong tikus seperti laut, hutan dan sempadan negara; meneroka tanah secara haram untuk tujuan penginapan dan pertanian dan menjalankan aktiviti perlombongan secara haram,” katanya.
Menurutnya, penguat kuasa juga dikesan terbabit dalam penyeludupan barang-barang larangan termasuk dadah, senjatapi, barangan kawalan seperti petrol, tepung, gula dan minyak masak.
“Rasuah jalanan bagi mengelakkan sebarang bentuk tindakan walaupun mempunyai dokumen yang lengkap; rasuah bagi mendapatkan darjah kebesaran dan status sosial dalam masyarakat; merompak kekayaan hasil laut dengan menceroboh lautan negara dan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO), tukang urut, pelacuran di pusat hiburan dan spa.
“Ini adalah sebahagian dari kesalahan-kesalahan yang berlaku membabitkan pendatang asing di negara ini. Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket,” katanya.
Katanya, isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh kerana kesannya amat buruk kerana ia membabitkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara.
“Pendedahan SPRM menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 & 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab,” katanya. – Berita Harian