KUALA TERENGGANU, 27 Mar 2023 (The Capital Post): Peniaga di sebuah pasar di sini memberi jaminan bekalan daging lembu mencukupi sehingga Aidilfitri dan tidak akan menaikkan harga.
Tinjauan di Pasar Chabang Tiga di sini, mendapati harga daging lembu tempatan dijual pada harga RM35 sekilogram, hati dan limpa (RM40), tulang, paru dan lidah (RM32), manakala perut dan daging cincang RM14 sekilogram.
Tinjauan juga mendapati harga daging sejuk beku adalah RM20 sekilogram, hati dan limpa (RM12), paru dan perut lembu RM17 sekilogram.
Beberapa peniaga daging lembu tempatan memberi jaminan bekalan mencukupi sehingga Aidilfitri.
Peniaga daging, Johari Kamaruddin, 38, turut memberi jaminan tiada kenaikan harga daging lembu tempatan.
Katanya, peniaga bersetuju untuk tidak menaikkan harga atas dasar simpati selain mengurangkan bebanan dihadapi pengguna yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi.
“Selain di pasar, bekalan daging tempatan juga dijual di kebanyakan tempat, termasuk di gerai di bahu jalan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan bekalan sayur-sayuran juga mendapati hanya dua jenis sayur menunjukkan kenaikan iaitu tomato dan bunga kubis.
Harga tomato dijual pada harga RM10 sekilogram dan bunga kubis di antara RM9 dan RM10 sekilogram.
Kenaikan harga tomato dan bunga kubis tidak dapat dielakkan berikutan bekalan diperoleh daripada pemborong di Cameron Highlands.
Tinjauan mendapati harga timun adalah RM4 sekilogram, sawi (RM5), kubis (RM4), terung panjang dan bulat antara RM5 dan RM8 sekilogram.
Cili dijual pada harga RM10 sekilogram dan cili merah, RM13 sekilogram.
Seorang pemborong bekalan sayur di Pasar Chabang Tiga, Abdullah Ismail, 52, berkata kebanyakan bekalan sayur-sayuran diperoleh daripada pekebun tempatan.
Katanya, harga bekalan pelbagai jenis sayur-sayuran dijangka kekal berikutan berlaku lambakan sayur daripada pekebun tempatan.
-BH
(The Capital Post)