KUALA LUMPUR, 25 Jan 2023 (The Capital Post): Lalamove, penyedia perkhidmatan penghantaran berpangkalan di Hong Kong akan terus memberi tumpuan untuk menyokong perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia pasca COVID-19.
Ketua Pegawai Operasinya, Paul Loo, berkata 80 hingga 90 peratus pangkalan data Lalamove adalah PKS, justeru syarikat penghantaran itu melihat kepentingan segmen perniagaan sedemikian untuk terus pulih dan berkembang.
“Di Malaysia, kami memiliki dua juta pengguna, 38,000 rakan niaga dan 350,000 rakan penghantar untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, lebih-lebih lagi PKS yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan syarikat sejak dua tahun lalu.
“Kami melihat PKS adalah segmen pelanggan yang sangat penting kepada perniagaan teras Lalamove di Malaysia. Justeru, kami mahu meningkatkan keupayaan penghantaran untuk menyokong perniagaan PKS di Malaysia.
“Platform kami secara semula jadi sangat bersesuaian dengan PKS yang menjadi bahagian besar dalam ekonomi.
“Kami mahu pulih bersama PKS di Malaysia,” katanya pada temu bual bersama BH dan New Straits Times, baru-baru ini.
Lalamove yang bermula di Hong Kong pada 2013 memiliki lebih 15 juta pengguna di seluruh dunia, selain disokong lebih 2.2 juta rakan penghantar, melonjak dua kali ganda sejak dua tahun lalu
Syarikat itu menawarkan perkhidmatan di pasaran Asia dan Amerika Latin membabitkan lebih 40 bandar merangkumi 11 pasaran berbeza.
Di China sahaja, Lalamove beroperasi di lebih 350 bandar.
Di Malaysia, Lalamove beroperasi di empat bandar iaitu Pulau Pinang, Lembah Klang, Melaka dan Johor, namun menawarkan perkhidmatan penghantaran ke seluruh Semenanjung.
Lalamove memiliki rangkaian kenderaan penghantaran lengkap daripada lori kecil hingga ke besar, van dan trak pikap.
Mengulas persaingan di pasaran Malaysia, Loo berkata, Lalamove tidak melihat kepelbagaian syarikat penghantaran di negara sebagai penghalang kepada pertumbuhannya memandangkan ia memiliki model pengendalian penghantaran komprehensif untuk menyokong keperluan pelanggan.
Katanya, pasaran Malaysia masih menawarkan banyak potensi untuk Lalamove terus berkembang, dengan pertumbuhan tahun ini lebih baik selepas mencatatkan lonjakan ketara pada 2021 dan mendatar tahun lalu.
“Tahun ini, kami melihat pertumbuhan agak nominal. Masih banyak ruang untuk kami berkembang di pasaran Malaysia.
“Untuk Sabah dan Sarawak pula, kami memiliki perancangan untuk beroperasi di sana, tetapi tempoh masa belum diputuskan lagi,” katanya.
Mengenai perancangan Lalamove di Malaysia, beliau menjelaskan, enam hingga 12 bulan akan datang adalah tempoh syarikat untuk membantu PKS kembali pulih daripada kesan pandemik.
“Saya melihat pasaran Malaysia akan kembali pulih pada masa jangka pendek. Jika pemulihan pasaran negara ini kukuh, kami mahu kekal menjadi antara penyumbangnya.
“Fokus kami juga terarah kepada dua perkara iaitu meningkatkan rangkaian liputan di pasaran Asia termasuk Malaysia serta Amerika Latin,” katanya.
-BH
(The Capital Post)