Dagangan Bursa Malaysia meningkat pada pagi ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 22 Dec 2022 (The Capital Post)  : Bursa Malaysia meningkat kembali pagi ini untuk dibuka lebih tinggi sedikit pada urus niaga Khamis seiring dengan pergerakan cergas semalaman Wall Street di tengah-tengah keyakinan pengguna yang bertambah baik, kata seorang penganalisis.

-Advertisement-

Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.18 peratus atau 2.57 mata kepada 1,465.12 daripada 1,462.55 pada penutupan dagangan Rabu.

Pasaran memulakan dagangan dengan meningkat 1.24 mata pada 1,463.79.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 229 berbanding 123, manakala 238 kaunter tidak berubah, 1,674 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 353.75 juta unit bernilai RM104.16 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd percaya minat belian mungkin merebak ke pasaran serantau serta bursa tempatan berikutan keyakinan pengguna yang bertambah baik di Amerika Syarikat (AS), serta jangkaan inflasi yang berkurangan.

“Sektor teknologi dijangka mempamerkan lantunan semula didorong lonjakan mantap di Nasdaq. Selain itu, kami mengunjurkan kemunculan minat belian dalam sektor minyak dan gas di tengah-tengah harga minyak Brent yang lebih kukuh.

“Pelabur juga mungkin memberi tumpuan kepada sektor pembinaan dan bahan binaan kerana projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan pada kos yang lebih rendah,” katanya dalam satu nota.

Justeru, firma pembrokeran itu berkata paras sokongan diunjur pada julat 1,460-1,450, manakala rintangan ditetapkan sepanjang 1,500-1,510.

-Advertisement-

Bagi komoditi, harga minyak mentah Brent meningkat melebihi US$82, manakala harga minyak sawit mentah berlegar melebihi RM3,950.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.74, TNB turun satu sen menjadi RM9.16, manakala kedua-dua Public Bank dan CIMB menokok satu sen masing-masing mencatatkan RM4.42 dan RM5.80, dan Petronas Chemicals pula menambah lapan sen kepada RM8.16.

Antara saham-saham aktif pula, Serba Dinamik dan Citaglobal menambah setengah sen setiap satu masing-masing pada 1.5 sen dan 29.5 sen, Reneuco meningkat 6.5 sen kepada 32 sen dan Sarawak Consolidated Industries mengembang 1.5 sen kepada 15.5 sen, manakala XOX tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 23.01 mata kepada 10,517.76, Indeks FBM Emas Shariah lebih tinggi sebanyak 33.28 mata pada 10,585.45,Indeks FBM 70 mengukuh 37.60 mata kepada 12,851.28, Indeks FBM ACE peroleh 23.57 mata untuk mencapai paras 5,489.42 manakala FBMT 100 mengukuh 20.66 mata kepada 10,226.19.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan memperoleh 28.01 mata kepada 6,801.36, Indeks Tenaga menambah 6.86 mata menjadi 791.13 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.66 mata kepada 176.05.

Walau bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 1.08 mata menjadi 16,601.10.

– Bernama -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427