‘Keputusan PRU15 Padang Serai, Tioman bukti rakyat tolak kerajaan PH-BN’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 8 Dec 2022 (The Capital Post) : Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai semalam, jelas membuktikan gelombang penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

-Advertisement-

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pada masa sama, tindakan sebahagian pengundi tetap mengundi calon BN di Padang serai dan PH di Tioman walaupun mereka sudah menarik diri daripada bertanding, sebagai isyarat mereka tidak menyokong tindakan dibuat pimpinan BN serta PH.

“Kita yakin momentum ini akan terus meningkat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas keputusan PRU15 Parlimen Padang Serai yang disifatkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tanda positif sokongan padu rakyat kepada PN dan menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH.

PN merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH pada PRU15 selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.

Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi dan Sivaraj yang memberi laluan kepada calon PH berjaya meraih 2,983 undi.

Bagi DUN Tioman, calon BN, Datuk Seri Johari Hussain mengekalkan kerusi untuk penggal keempat pada PRU15 dengan mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru.

Calon PN, Nor Idayu Hashim mendapati 7,507 undi.

Tuan Ibrahim turut berterima kasih kepada pengundi yang terus menzahirkan sokongan kepada PN di dua-dua PRK itu.

-Advertisement-

Bagaimanapun, beliau mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tanggungjawab dengan peratusan mengundi yang rendah khususnya di Tioman, kerana pengundian dibuat pada hari bekerja.

“Sebahagian pekerja tidak dapat cuti dan jarak jauh yang tidak memungkinkan mereka balik mengundi,” katanya

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, SPR perlu tegas melarang pemberian pelbagai ‘hadiah’ dalam musim kempen sebagai rasuah politik, seperti pemberian geran tanah, projek segera dan apa juga bentuk pemberian kepada pengundi.

“Ia jelas salah guna kuasa yang dilakukan pemerintah,” katanya.

Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang kononnya berjuang ke arah sistem pilihan raya adil, menutup mulut apabila parti yang disokong mereka berbuat demikian, tetapi bising jika PN melakukannya.

“Rakyat juga ingin melihat suara lantang pimpinan DAP selama ini yang menentang kleptokrasi, rasuah dan penyelewengan.

“Kalau benar mereka menentang, DAP mesti tegas menarik sokongan mereka dengan apa yang berlaku,” katanya.

-BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427