Bursa saham dibuka tinggi pada sesi awal

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 9 Nov 2022 (The Capital Post): Bursa Malaysia menebus kerugian yang dialami semalam dan dibuka lebih tinggi pagi ini, didorong oleh minat belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih selepas pasaran serantau mempamerkan sentimen bercampur-campur, kata seorang peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sedikit sebanyak 1.22 mata kepada 1,442.57 daripada penutupan Selasa pada 1,441.35.

Pasaran mengukuh 2.27 mata pada ketika memulakan dagangan pagi ini.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 145 berbalas 106, manakala 205 kaunter tidak berubah, 1,859 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 184.46 juta unit bernilai RM43.57 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street meneruskan aliran menaiknya sambil para peniaga menantikan keputusan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, dengan ramai menjangkakan Parti Republikan mampu memberikan tekanan kepada Presiden Joe Biden.

“Purata Perindustrian Dow Jones melonjak 334 mata lebih tinggi manakala Nasdaq menambah 52 mata apabila hasil AS (Perbendaharaan) 10 tahun susut kepada 4.13 peratus,” katanya.

Di pasaran tempatan, beliau menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat antara 1,435 dan 1,450 hari ini memandangkan pasaran serantau mungkin terus menunjukkan prestasi bercampur-campur menjelang keputusan pilihan raya AS.

“Turut diunjurkan juga saham perladangan, minyak dan gas kemungkinan mengalami tekanan jualan hari ini berikutan kelemahan harga minyak sawit mentah dan minyak mentah,” katanya.

-Advertisement-

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sime Darby Plantation naik tujuh sen kepada RM4.40, Hong Leong Bank meningkat 22 sen menjadi RM20.88, IHH Healthcare menambah lima sen untuk mencatatkan harga RM6.05, Digi meraih tiga sen kepada RM3.85 dan CIMB memperoleh dua sen kepada RM5.44.

Antara saham aktif, Advance Synergy dan Malayan United meningkat setengah sen masing-masing pada 13 sen dan 11 sen, Eduspec dan Velesto Energy tidak berubah pada dua sen dan 13 sen, manakala Citaglobal turun dua sen menjadi 27 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 9.98 mata untuk mencapai paras 10,236.62, Indeks FBM Emas Syariah menokok 5.38 mata menjadi 10,313.74 dan FBM 70 mengukuh 13.98 mata kepada 12,136.47.

Begitu juga Indeks FBMT 100 yang naik 9.15 mata kepada 9,970.61 manakala FBM ACE melonjak 14.36 mata kepada 4,955.79.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.10 mata kepada 173.73, Indeks Perladangan menambah 30.50 mata menjadi 6,865.56 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih tinggi 37.63 mata kepada 16,198.99.

Walau bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 6.21 mata pada 718.25

– Bernama -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427