Bijak pilih calon, parti elak krisis politik selepas PRU berulang

Estimate Reading Time: 3 minutes

Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menerusi perutusan khas semalam, menamatkan teka-teki semua pihak bilakah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan dilaksanakan.

-Advertisement-

Selepas ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat untuk menentukan tarikh sesuai PRU-15 dan membincangkan pelbagai perkara berkaitan pilihan raya seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Akta SPR 1957.

Pelbagai peristiwa bersejarah seperti pertukaran tiga gabungan kerajaan dalam tempoh satu penggal Parlimen, perjanjian persefahaman (MOU) antara kerajaan dengan pembangkang, penggubalan Akta Lompat Parti dan pelaksanaan undi 18 menandakan bermulanya era baharu kedinamikan politik negara.

Justeru, PRU-15 menjadi petunjuk penting untuk menentukan kelangsungan kedinamikan politik sedia ada bagi mencapai kematangan demokrasi di Malaysia.

Sudah semestinya, pengundi layak perlu dibekalkan dengan peringatan dan petua politik sebagai persediaan rapi untuk membuat pilihan rasional supaya tidak mengulangi kesilapan sama seperti pada PRU-14 lalu.

Pertama, pengundi perlu meneliti dan menghukum wakil rakyat mengkhianati amanah dan mandat diberikan pada PRU-14 sama ada mereka kini bersama gabungan kerajaan atau pembangkang.

Setiap undi diberikan rakyat adalah ‘pilihan suci’ perlu dihormati setiap wakil rakyat dan sekiranya mereka mengkhianati mandat itu, maka pengundi perlu menolak individu terbabit pada PRU-15 nanti.

Maka, pengundi juga perlu berhati-hati dengan skrip ucapan kempen penuh penipuan dan memerangkap mereka seperti mengulangi penggunaan istilah bombastik seperti ‘berhijrah’, ‘demi rakyat’ dan ‘menyelamatkan negara’ sebagai senjata untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Sebenarnya, pengundi boleh menyediakan senarai nama wakil rakyat daripada parti berkenaan untuk disebarkan ke seluruh negara menerusi media sosial bagi mengelakkan pengundi tertipu sekali lagi dengan pemimpin politik sedemikian.

Kuasa sebaran maklumat melalui media sosial yang luas hari ini menjadi platform terbaik untuk rakyat mengawal sikap dan bersikap rasional terhadap tindak tanduk pemimpin politik ‘lidah bercabang’ daripada berterusan memanipulasi demokrasi untuk kepentingan peribadi mereka.

Kedua, pengundi pada PRU-15 perlu mewujudkan persekitaran politik baharu yang segar dengan menolak pemimpin politik veteran diibaratkan sebagai ‘dinasour politik purba’ dan dilihat tidak lagi relevan kepada politik baharu negara.

Pengundi perlu sedar, Malaysia memerlukan naratif politik baharu tidak dicaturkan pemimpin politik veteran, sekali gus memberi peluang kepada muka baharu untuk ditonjolkan sebagai pemimpin utama parti dan negara.

Namun, hakikat perlu ditelan adalah pemimpin politik veteran ini sukar ‘dibersarakan’ kerana tiada peruntukkan undang-undang dalam Perlembagaan yang boleh menghalang mereka untuk terus bertanding kecuali tewas pada pilihan raya atau meninggal dunia.

Hadkan penyertaan pemimpin politik veteran

Oleh yang demikian, kerajaan baharu dipilih selepas PRU-15 nanti wajar mempertimbangkan pindaan Perlembagaan dan penggubalan undang-undang bagi mengehadkan pemimpin politik veteran dan tua daripada terus bertanding pada pilihan raya.

Meskipun faktor usia tidak sewajarnya menjadi penghalang kepada individu untuk terbabit dalam demokrasi, namun tindakan melindungi demokrasi perlu dilakukan jika terdapat ramai pemimpin tua merosakkan kesucian demokrasi negara.

Namun, tidak dinafikan, percaturan politik pemimpin tua sebelum ini antara penyebab politik negara menjadi tidak stabil dan ramai anak muda bosan serta menjauhkan diri daripada aktiviti politik negara.

-Advertisement-

Ketiga, setiap gabungan parti politik seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Keluarga Malaysia mempunyai rekod pencapaian masing-masing ketika mentadbir negara.

Oleh demikian, pengundi perlu menilai setiap prestasi gabungan politik bagi memastikan wakil rakyat dipilih pada PRU-15 nanti berwibawa, dipercayai dan mampu mengekalkan kestabilan kerajaan.

Kestabilan ini penting untuk mewujudkan keyakinan kepada pelabur dalam konteks ekonomi, memulihkan kehidupan dan menjaga kebajikan rakyat akibat impak COVID-19.

Justeru, pengundi perlu memastikan setiap inti pati manifesto dikemukakan parti politik menjelang PRU-15 relevan dan mampu dilaksanakan berdasarkan prestasi mereka ketika mentadbir negara sebelum ini.

Sekiranya pengundian pada PRU-15 berorientasikan prestasi pemimpin dan parti, maka dengan mudahnya sebuah kerajaan dominan dapat dibentuk tanpa melalui percaturan politik dengan parti politik kecil lain.

Rakyat jemu perseteruan politik berpanjangan

Rakyat sebenarnya serik dan jemu dengan pertelingkahan dan perseteruan politik berpunca daripada perebutan kuasa antara satu sama lain.

Keadaan ini mengakibatkan ketidakstabilan kerajaan berterusan dan perlu ditangani dengan segera pemimpin politik menerusi perubahan segera persepsi dalam kalangan pengundi.

Pemimpin parti Melayu perlu memilih gabungan politik kuat dan menetapkan pendirian jelas sebagai formula untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada mereka.

Pada masa sama, parti pembangkang juga tidak boleh bergembira dengan pertelingkahan antara parti Melayu kerana mereka juga sedang berhadapan dengan kemelut dalaman masih belum diselesaikan sepenuhnya.

PKR misalnya masih bergelut dengan perseteruan antara Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Rafizi Ramli yang mencetuskan kewujudan dua kumpulan besar dalam parti sehingga hari ini.

Kemelut dalaman parti dan hubungan antara satu sama lain perlu diselesaikan segera bagi memastikan pengundi kembali yakin untuk memilih parti mana difikirkan layak dan wibawa untuk dipilih pada PRU-15 akan datang.

Ketiga-tiga formula ini ubat mujarab untuk merawat barah politik melanda negara sebelum ini dan pengundi perawat digeruni pemimpin politik sama ada boleh menyembuhkan kembali atau terus membunuh mereka pada PRU-15 nanti.

Pascapembubaran Parlimen menuju PRU-15 adalah tempoh terbaik kepada pemimpin politik ‘bertaubat’ dan bermuhasabah diri seterusnya kembali berkhidmat kepada rakyat dengan sepenuh hati.

PRU-15 mungkin menjadi ‘kiamat politik’ kepada pemimpin dan parti sekiranya mereka masih mengkhianati dan mengamalkan budaya politik untuk kepentingan peribadi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM)

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427