Agong arah beri perhatian kepada sistem amaran awal banjir

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal banjir serta pelarasan agihan bantuan bencana itu kepada mangsa.

-Advertisement-

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara itu ditekankan Yang di-Pertuan Agong selepas baginda meninjau sendiri persiapan dan kesiapsiagaan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi negara berdepan musim banjir di seluruh negara.

Mengulas lanjut katanya, baginda turut menzahirkan rasa puas hati terhadap persiapan dilakukan PRABN bagi berdepan kemungkinan banjir ekoran Monsun Timur Laut 2022/2023.

“Beberapa perkara untuk diberi perhatian soal antara bila berlaku bencana amaran lebih awal dan kita juga maklumkan kepada baginda bahawa kali ini kita menambahkan jumlah fasiliti siren dan kemudahan yang ada di kawasan ‘hotspot’.

“Selain itu baginda juga minta penyelarasan dari segi bantuan di bawah agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan semua pihak.

“Ia supaya apabila berlaku banjir kita dapat mengurangkan impak dan bantuan dapat diserahkan dengan sama rata kepada seluruh mangsa,” katanya kepada pemberita, di sini.

Terdahulu, Tuan Ibrahim mengiringi Yang di-Pertuan Agong yang berkenan berangkat ke PRABN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di Ampang, dekat sini bagi meninjau sendiri persiapan dan kesiapsiagaan bagi negara berdepan musim banjir di seluruh negara.

-Advertisement-

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, KASA mengambil perhatian serius mengenai perkara dibangkitkan Yang di-Pertuan Agong untuk diambil tindakan.

Beliau berkata, KASA turut mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai data dan taburan hujan di seluruh negara yang dijangka berlaku Oktober hingga Mac depan.

“Kita sudah sedia maklum mengenai data dan kajian Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang ada dan semua rekod yang kita guna untuk kita pastikan bahawa maklumat itu sampai kepada orang ramai.

“Selain beberapa persiapan yang kita buat bagi menghadapi Monsun Timur Laut, jadi itu kita persembahkan kepada baginda,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, KASA juga sudah bersedia dalam aspek persiapan banjir termasuk turun ke beberapa negeri paling berisiko terhadap bencana itu.

“Kita sudah bersedia dan untuk makluman saya juga turun ke beberapa buah negeri untuk tengok sendiri dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kita pantau persiapan monsun di seluruh negara,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427