Bursa Malaysia dibuka rendah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini, menuruti prestasi lemah Wall Street dan pasaran global Jumaat lalu, kata seorang peniaga.

-Advertisement-

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.70 mata kepada 1,390.93 daripada 1,394.63 penutup Jumaat.

Indeks penanda aras dibuka 0.93 mata lebih rendah pada paras 1,393.70.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 224 berbalas 83, manakala 198 kaunter tidak berubah, 1,848 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 96.49 juta unit bernilai RM41.53 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini, Wall Street meneruskan trend penurunannya pada Jumaat lalu apabila Dow jatuh selepas data perbelanjaan peribadi yang kukuh pada Ogos 2022 meningkatkan lagi jangkaan akan prospek kenaikan kadar faedah yang lebih agresif oleh bank pusat Amerika Syarikat.

“Kami percaya kegawatan pasaran global mungkin akan berlanjutan, berpunca daripada kebimbangan terhadap potensi kemelesetan memandangkan kadar inflasi yang kian meningkat,” katanya.

Di dalam negara pula, firma pembrokeran itu menjangkakan kemunculan kegiatan memburu saham murah menjelang pembentangan Bajet 2023 dijadual pada 7 Oktober ini.

-Advertisement-

Dari segi komoditi, harga minyak mentah merosot dan diniagakan pada sekitar AS$85 setong, manakala minyak sawit mentah memperoleh momentum untuk ditutup melebihi RM3,410 satu tan, menjejaki keuntungan yang diraih dalam harga minyak kacang soya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa – Maybank dan Public Bank masing-masing susut satu sen kepada RM8.57 dan RM4.22, CIMB turun dua sen kepada RM5.11, Petronas Chemicals meningkat satu sen menjadi RM8.40 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.90.

Bagi saham aktif, SNS Network Technology dan Vinvest Capital Holdings menokok setengah sen masing-masing mencatatkan harga 28 sen dan 20 sen, dan Harvest Miracle Capital meningkat dua sen kepada 12 sen, manakala XOX susut setengah sen menjadi 1.5 sen dan PT Resources tidak berubah pada 46 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 32.83 mata kepada 9,944.03, FBM 70 turun 56.31 mata menjadi 12,145.50 dan Indeks FBMT 100 kerugian 30.42 mata kepada 9,698.28.

Indeks FBM Emas Syariah pula lemah 40.96 mata kepada 9,967.07 manakala FBM ACE susut 10.70 mata kepada 4,647.17.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga turun 3.51 mata kepada 666.67, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 10.34 mata kepada 15,912.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lega 0.88 mata menjadi 168.99 sementara Indeks Perladangan naik 17.89 mata kepada 6,491.65.

– Bernama -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427