KUALA LUMPUR: PAS perlu mula mengorak langkah meninggalkan Perikatan Nasional (PN) jika benar-benar mahu merealisasikan idea penyatuan ummah yang diperjuangkan selama ini.
Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, berpandangan pertemuan antara Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini, perlu menjadi titik permulaan untuk PAS meninggalkan PN dan kembali bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Mohd Ridhuan yakin, gerakan penyatuan ummah antara UMNO dan PAS akan mewujudkan gelombang politik yang memberi kesan besar di negara ini, selain menggerunkan musuh politik, khususnya Pakatan Harapan (PH).
“Pertemuan Presiden PAS dan Presiden UMNO disebabkan oleh keceluparan BERSATU, sepatutnya menjadi titik tolak untuk PAS meninggalkan PN. Kembalilah bertaut bersama UMNO dalam MN, jika PAS benar-benar sayangkan agama dan negara ini.
“Dalam kenyataan Presiden UMNO selepas kunjungan Presiden PAS ke rumahnya, permintaan hanya satu, tinggalkan PN (BERSATU).
“Tunggu apa lagi, BERSATU pun sudah menunjukkan belang, mahu menjadikan UMNO musuh utama. Justeru, apakah mesej itu masih tidak jelas kepada PAS?
“Saya sarankan mulai hari ini, segerakan gerakan penyatuan ummah antara UMNO-PAS. Duduk semeja dan berbincang. Pasti ia akan menggerunkan musuh politik, terutama DAP, PKR dan AMANAH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, portal berita melaporkan, pertemuan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi menguatkan khabar angin mengatakan MN akan dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Difahamkan, pertemuan itu berlangsung pada 20 September lalu dan keputusan perbincangan pula dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, yang berlangsung Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhuan percaya, jika PAS kembali bersama UMNO dalam MN, BERSATU berkemungkinan terpaksa akur dan mengikut jejak langkah PAS, kerana parti serpihan UMNO itu dilihat tidak mampu menang sebarang kerusi pada PRU-15 tanpa bantuan PAS.
“Jika PAS kembali bertaut bersama UMNO, tidak mustahil BERSATU akan kembali kepada UMNO kerana tanpa PAS, BERSATU tidak akan ke mana-mana. Parti Gerakan pasti tidak boleh bergerak, walaupun namanya Gerakan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan UMNO dan PAS untuk berhenti menyerang antara satu sama lain jika mahu memastikan hubungan kedua-dua parti kembali bertaut.
Selain itu, katanya, UMNO juga tidak boleh bersikap seperti ‘abang besar’ dengan menganggap parti itu terlalu kuat kerana beliau percaya tiada parti yang boleh memerintah secara bersendirian dan penyatuan UMNO-PAS dilihat sebagai strategi terbaik.
“PAS mesti tinggalkan PN demi maslahah yang lebih utama. Tidak ada guna lagi berkawan dengan parti yang tidak selari dengan dasar perjuangan PAS.
“Segeralah hidupkan gelombang MN jika kita benar-benar sayang Islam dan negara ini demi kemenangan dalam PRU-15,” katanya.
-BH