KUALA LUMPUR: Indeks Pelopor (IP), yang menjangkakan hala tuju ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan, kekal stabil dengan mencatatkan 109.5 mata pada Julai 2022 berbanding 105.2 mata dalam bulan sama pada tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Ini selari dengan pertumbuhan IP sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun, lebih rendah daripada 5.3 peratus pada Jun 2022,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Katanya, import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain kekal sebagai pendorong utama kepada pertumbuhan berikutan peningkatan permintaan berkaitan logam berasaskan platinum.
Berdasarkan prestasi bulanan, IP mencatatkan negatif 2.0 peratus pada Julai 2022 berbanding peningkatan 0.4 peratus pada Jun 2022.
“Trend menurun ini terutamanya dipengaruhi oleh import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain, yang menyumbang negatif 0.9 peratus kepada peratusan perubahan IP pada bulan berkenaan.
“Walaupun prestasi IP rendah sedikit pada Julai 2022, ia menunjukkan bahawa prospek ekonomi Malaysia dijangka kekal optimis di hadapan berdasarkan indeks arah aliran jangka panjang yang lancar dan terus melepasi 100 mata.
“Ini sejajar dengan pelbagai inisiatif dan pentadbiran kerajaan yang responsif terhadap situasi semasa,” katanya.
-BERNAMA -BH