BAYAN LEPAS: Remaja perempuan berusia 13 tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah di sini, awal pagi tadi.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di bahagian bumbung parkir di kondominium berkenaan.
Kejadian itu dikatakan disedari ibu mangsa pada jam 6.30 pagi sebelum menghubungi pihak polis bagi tindakan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin, berkata pihaknya menerima panggilan dariPADA orang awam berhubung kejadian pada jam 6.48 pagi.
Susulan itu, katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru
diketuai Mohd Awis Kharni Abdul Rahman, bergegas ke lokasi bagi memberi bantuan diperlukan.
“Ketika tiba di lokasi, mangsa ditemukan terbaring di bumbung berkenaan selepas terjatuh dari tingkat 11 kediamannya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Hafiz berkata, anggota bomba kemudian menurunkan mangsa dari bumbung menggunakan tangga jentera pada ketinggian kira-kira lima meter.
“Mayat mangsa diserah kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.45 pagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.– Berita Harian