Harga makanan di seluruh dunia masih tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Harga makanan domestik masih kekal tinggi di seluruh dunia dalam tempoh April hingga Julai 2022, dengan inflasi tinggi berterusan di hampir semua negara berpendapatan rendah dan sederhana, demikian menurut laporan terkini Bank Dunia.

-Advertisement-

Laporan Jaminan Makanan Terkini Bank Dunia menunjukkan 92.9 peratus negara berpendapatan rendah mengalami inflasi tinggi, 92.7 peratus negara berpendapatan sederhana rendah dan 89 peratus negara berpendapatan sederhana atas telah menyaksikan paras inflasi melebihi lima peratus, dengan banyak yang mengalami inflasi dua angka.

Negara berpendapatan tinggi yang mencatatkan inflasi tinggi juga telah meningkat secara mendadak, dengan kira-kira 83.3 peratus mengalami inflasi harga makanan yang tinggi.

Harga pengguna juga terus meningkat di beberapa negara Asia Tenggara, dengan inflasi meningkat melepasi sasaran kerajaan seperti di Filipina dan Laos.

Sehingga 11 Ogos 2022, laporan Bank Dunia itu berkata, Indeks Harga Pertanian adalah satu peratus lebih tinggi daripada dua minggu lalu, yang mana harga jagung dan gandum adalah dua peratus lebih tinggi berbanding Januari 2022, manakala harga beras kira-kira enam peratus lebih tinggi.

Ia berkata, berbanding purata Januari 2021, indeks harga jagung dan gandum adalah 20 peratus lebih tinggi, manakala indeks harga beras adalah 16 peratus lebih rendah.

Menurut Tinjauan Pasaran Komoditi April 2022 Bank Dunia, perang di Ukraine telah mengubah corak perdagangan, pengeluaran dan penggunaan komoditi global dengan cara yang akan mengekalkan harga pada tahap sejarah yang tinggi sehingga penghujung 2024, memburukkan lagi ketidakjaminan makanan dan inflasi.

Bank Dunia berkata, berikutan permulaan perang di Ukraine, dasar berkaitan perdagangan yang dikenakan oleh negara telah meningkat.

-Advertisement-

Ia berkata, krisis makanan global sebahagiannya diburukkan lagi oleh peningkatan jumlah sekatan perdagangan makanan yang dilaksanakan oleh negara dengan matlamat untuk meningkatkan bekalan domestik dan mengurangkan harga.

Katanya, sehingga 11 Ogos, sekurang-kurangnya 23 negara telah melaksanakan 33 larangan eksport makanan, dan sekurang-kurangnya tujuh telah melaksanakan 11 langkah mengehadkan eksport.

Menjelang Jun 2022, jumlah penduduk dunia yang berdepan ketidakjaminan makanan semakin meruncing, apabila akses kepada makanan dalam jangka pendek telah dihadkan sehingga kehidupan dan mata pencarian mereka berisiko,.

Jumlahnya meningkat kepada 345 juta orang di 82 negara, demikian menurut Program Makanan Dunia (WFP).

Di samping itu, WFP dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) memberi amaran bahawa ketidakjaminan makanan yang meruncing boleh menjadi lebih teruk di 20 negara atau kawasan sepanjang Jun hingga September 2022.

Tinjauan menerusi telefon yang dilakukan oleh Bank Dunia di 85 negara menunjukkan sejumlah besar penduduk dunia kehabisan makanan atau mengurangkan penggunaan dalam dua tahun pertama pandemik COVID-19.

Pengambilan kalori yang dikurangkan dan pemakanan yang terjejas mengancam pengurangan kemiskinan dan kesihatan selain boleh memberi kesan yang berkekalan terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427