KUALA LUMPUR: Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) menawarkan Wasiat Asas pada harga serendah RM350 dan Wasiat Komprehensif pada RM950 berbanding harga asal masing-masing RM600 dan RM1,200 sempena Kempen Merdeka Wasiat dengan tawaran bermula 1 Ogos sehingga 31 September 2022.
Pengerusinya, Datuk Ramli Mohd Nor, berkata AmanahRaya mengambil inisiatif bagi menzahirkan komitmen terhadap pemupukan semangat patriotisme dengan memperkenalkan kempen berkenaan bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke-65.
“Selari dengan tema kemerdekaan tahun ini ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah dan Pentadbir Pusaka turut berperanan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di Malaysia dapat diutamakan khususnya melalui Perancangan Pewarisan.
“Kesinambungan legasi sesebuah ‘Keluarga Malaysia’ hanya dapat direalisasikan sekiranya masyarakat sedar mengenai kepentingan melaksanakan Wasiat dan Amanah di peringkat awal.
“Justeru, bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat, AmanahRaya melancarkan Kempen Merdeka Wasiat,” katanya pada sidang media pelancaran Program Kibaran Jalur Gemilang dan Pelancaran Kempen Merdeka Wasiat AmanahRaya di sini, hari ini.
Program yang diadakan secara fizikal dan dalam talian itu turut membabitkan kira-kira 600 pegawai AmanahRaya dari Ibu Pejabat dan 20 cawangan AmanahRaya seluruh negara.
Setakat 31 Julai 2022, lebih 1.1 juta wasiat telah didaftarkan, 19,634 fail pentadbiran pusaka dan 23,418 Akaun Amanah telah dibuka di AmanahRaya.
AmanahRaya sedang menguruskan Wang Menunggu Dituntut berjumlah RM456 juta membabitkan 42,148 fail.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, wasiat AmanahRaya disimpan di tempat yang selamat dengan kelengkapan serba canggih bagi memastikannya masih berkualiti walaupun selepas bertahun-tahun lamanya.
“Selain itu, fi perkhidmatan pentadbiran pusaka di AmanahRaya adalah sangat berpatutan dan tiada caj tambahan atau caj tersembunyi yang dikenakan. Manakala, fi yang dikenakan oleh pihak ketiga adalah di luar bidang kuasa AmanahRaya.
“Oleh itu, penting untuk masyarakat memilih agensi ‘One Stop Centre’ seperti AmanahRaya kerana struktur fi perkhidmatan AmanahRaya adalah di bawah pemantauan Kementerian Kewangan,” katanya.
-BH