Dewan perwakilan AS lulus Rang Undang-Undang Hak Asasi Manusia Hong Kong

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON- Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu meluluskan dua rang undang-undang yang bertujuan menyokong penunjuk perasaan di Hong Kong, lapor agensi berita Turki Anadolu.

-Advertisement-

Akta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Hong Kong, yang akan mengenakan sekatan ke atas pihak yang bertanggungjawab melakukan pencabulan ke atas hak asasi manusia, diluluskan dengan undian 417-1.

Di bawah akta itu, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo perlu mengesahkan setiap tahun bahawa Hong Kong mengekalkan autonomi yang mencukupi bagi melayakkan pertimbangan perdagangan khas yang menaikkan statusnya sebagai sebuah pusat kewangan dunia.

Dewan itu turut mengundi langkah melarang eksport komersial bagi barangan senjata api kepada Pasukan Polis Hong Kong. Ia diluluskan dengan undian 417-0.

Senat turut meluluskan secara sebulat suara kedua-dua rang undang-undang pada Selasa, yang kini dalam perjalanan ke meja Presiden Donald Trump untuk kelulusan.

-Advertisement-

China mengutuk tindakan meluluskan Akta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Hong Kong, lapor agensi berita Xinhua.

Langkah itu “adalah campur tangan kasar dalam hal ehwal dalaman China,” lapor Xinhua memetik kenyataan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC).

Rang undang-undang dibuat selepas Hong Kong, sebuah wilayah autonomi di bawah China sejak 1997, menyaksikan tunjuk perasaan yang bermula pada awal Jun terhadap langkah pentadbiran Carrie Lam bagi menghalalkan ekstradisi ke tanah besar China.

Kerajaan Hong Kong telah membatalkan rang undang-undang itu namun tunjuk perasaan masih berlangsung dengan desakan mendakwa polis bagi keganasan.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427