Bangladesh idam kejutkan Harimau Malaya

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Bangladesh, Javier Fernandez menganggap bahawa Malaysia lebih tertekan berbanding pasukannya menjelang aksi terakhir Kumpulan E kempen kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

-Advertisement-

Pengendali dari Sepanyol itu menjelaskan, ia berdasarkan kelebihan dimiliki skuad kendalian Kim Pan Gon yang beraksi di gelanggang sendiri dan berada di kedudukan lebih tinggi dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Mengakui tiada masalah terpaksa beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya, beliau turut menegaskan bahawa pasukannya akan cuba membuat kejutan pada perlawanan itu.

“Semua tekanan kepada Malaysia kerana mereka bermain di laman sendiri, berada di ranking lebih tinggi dan ini peluang untuk mereka mara ke pusingan akhir Piala Asia.

“Ini juga peluang yang terbaik untuk kami. Saya fikir kami sudah mempamerkan persembahan positif tapi berdepan Malaysia, saya mahu berikan sesuatu kepada penyokong dan negara,” katanya.

-Advertisement-

Bangladesh yang menduduki tangga ke-188 dunia sudah terkeluar dari persaingan merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan selepas tewas di tangan Bahrain dan Turkmenistan dalam dua aksi sebelum ini.

Mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan E tanpa sebarang mata, manakala Malaysia pula di kedudukan kedua dengan mengumpul tiga mata.

Selain itu, Fernandez mengakui pasukannya mungkin tidak boleh bermain dengan corak permainan sebenar mereka untuk perlawanan itu berikutan keadaan permukaan padang di Stadium Nasional yang kurang memuaskan ketika ini.

“Keadaan padang akan menyukarkan pasukan bermain dengan kombinasi yang dirancang. Malaysia pasukan yang kuat dan kami tidak menumpukan kepada mana-mana pemain, apa yang penting kami perlu kekalkan mentaliti,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427