KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS )pada pagi urus niaga Rabu walaupun pada kadar yang lebih perlahan, berikutan senario inflasi global dan pengetatan dasar ekonomi.
Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan ialah pada 4.3930/3960 berbanding dolar AS daripada 4.3935/3960 penutup Selasa.
Menurut peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, dolar mungkin terus meningkat dalam jangka sederhana dan panjang.
“Peningkatan nilai mata wang AS berlaku di tengah-tengah ketegangan semakin ketara di Asia yang membabitkan latihan ketenteraan Korea Utara dan ini mendorong AS untuk menjalankan latihan ketenteraan bersama-sama dengan Korea Selatan,” katanya.
Sementara itu, ringgit lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen.
Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1937/1964 daripada 3.1936/1957 semalam dan jatuh berbanding pound Britain menjadi 5.5242/5280 daripada 5.4963/4994.
Ringgit turut menyusut nilai berbanding euro kepada 4.6970/7002 daripada 4.6892/6919 pada penutup Selasa tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3020/3045 daripada 3.3109/3130.
-BERNAMA -BH