KUALA LUMPUR: Angka harian kes COVID-19 terus meningkat apabila sebanyak 32,070 jangkitan baharu dilaporkan setakat tengah hari semalam berbanding 31,199 kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jangkitan baharu itu membabitkan 31,861 penularan tempatan dan 209 kes import.
Perkembangan itu menjadikan hingga kini jumlah keseluruhan individu yang pernah dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 3,337,227 kes.
“Jumlah keseluruhan jangkitan aktif di negara ini berjumlah 286,521 kes,” katanya dalam kenyatan, hari ini.
Beliau berkata, 8,039 individu kini dimasukkan ke hospital akibat COVID-19, dengan 327 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara.
Sementara itu, Repositori data GitHub Kementerian Kesihatan, melaporkan terdapat 46 kematian baharu akibat Covid-19 kelmarin. Ini menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 32,534.
-BH