KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melakukan analisis data, pemantauan semasa dan kajian dalam usaha menambah baik penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua laluan lebuh rayanya.
Dalam kenyataannya hari ini, pemegang konsesi lebuh raya itu menjelaskan, langkah terbabit bagi memastikan pelanggan yang menggunakan RFID di laluan kendaliannya, mendapat pengalaman yang terbaik dan perjalanan yang mudah serta lancar.
“Pembayaran tol menggunakan sistem RFID yang sudah dilaksanakan di seluruh rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan baru-baru ini, menerima pelbagai maklum balas, sama ada yang menyambut baik usaha ini dan ada juga yang memberi pandangan untuk penambahbaikan.
“Pada peringkat awal pelaksanaan sistem ini, pembantu khidmat pelanggan dan kakitangan teknikal PLUS bersiap siaga terutama sekali di plaza tol yang kritikal dan pada waktu puncak untuk membantu pelanggan yang menggunakan lorong RFID untuk mencapai pengalaman perjalanan yang lebih baik,” ciap PLUS Malaysia Berhad di Twitternya hari ini.
Tinjauan pagi tadi juga mendapati beberapa kawasan khususnya di Plaza Tol Sungai Besi, di sini masih mengalami kesesakan di lorong RFID selepas beberapa kenderaan dilihat gagal mengimbas RFID, ditambah ia adalah waktu puncak ketika ribuan pengguna jalan raya berpusu-pusu ke tempat kerja.
Namun, pemantauan mendapati PLUS menyediakan khidmat bantuan beberapa kakitangannya yang bersedia di lorong berkenaan bagi membantu melancarkan proses imbasan RFID, sedikit sebanyak mengurangkan tempoh masa kesesakan.
PLUS dalam kenyataan semalam berkata, pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih bagi mengimbas tag RFID mereka.
Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, katanya kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go (TNG) yang terdekat akan disediakan dan jika masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, TNG akan menggantikannya dengan tag RFID baru secara percuma.
Sebelum ini, beberapa pengguna jalan raya mengutarakan kekecewaan selepas terperangkap dalam kesesakan di lorong tol, dipercayai berikutan kegagalan sistem RFID.
Keadaan menjadi lebih parah apabila pengguna jalan raya yang gagal melakukan pembayaran menerusi RFID terpaksa mengambil keputusan beralih ke lorong TNG, sekaligus mengakibatkan kesemua lorong sesak khususnya pada waktu puncak.
Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, kelmarin memaklumkan sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin.
-BH