KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berjaya menguruskan hutang dengan lebih baik selepas berdepan kesukaran dalam tempoh lebih 21 bulan akibat COVID-19, demikian menurut skor kredit pengguna Experian i-SCORE (i-SCORE).
Laporan Situasi Kredit 2021 Experian: Pandemik dan Kesannya ke atas Tabiat Kredit Pengguna Malaysia mendapati, kelayakan kredit seseorang individu pada satu-satu masa sedikit meningkat, dengan purata skor kredit naik 18 mata daripada 601 pada 2019 (sebelum pandemik) kepada 619 pada 2021, purata i-SCORE tertinggi dalam tempoh 4 tahun yang lalu.
Katanya, ia membuktikan kejayaan pakej sokongan fiskal Malaysia yang dimanfaat merentasi semua kumpulan usia.
“Trend ini mencadangkan bahawa kebanyakan pengguna berjaya menguruskan pembayaran balik kredit mereka di sepanjang tempoh dua tahun yang lalu, ketika dilanda COVID-19.
“Pengaruh positif paling ketara yang disebabkan oleh inisiatif sokongan kerajaan ialah penurunan tunggakan pembayaran kredit. Ia dapat dilihat merentasi semua kumpulan usia, walaupun pada ketika kadar pengangguran sedang meningkat dan keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.
Menurut Experian Malaysia, prestasi itu menunjukkan bahawa campur tangan Bank Negara Malaysia menerusi moratorium dan langkah sokongan yang lain memberikan kesan positif kepada trend terbabit.
“Ia turut menunjukkan bahawa wujud perubahan sikap dalam kalangan rakyat Malaysia ke arah perbelanjaan yang lebih berhemah ketika berdepan dengan iklim ekonomi yang serba mencabar ini,” katanya.
Pencapaian itu adalah antara dapatan utama yang terkandung di dalam laporan tahunan pertama Situasi Kredit 2021 Experian Malaysia ke atas pengguna.
Laporan itu menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia, berusia 22 tahun dan ke atas, menguruskan kewangan peribadi mereka dalam tempoh empat tahun yang lalu.
Menurut Experian Malaysia, ia dapat dilihat kepada prestasi kredit pengguna di seluruh Malaysia, dengan penumpuan terhadap skor kredit dan tabiat meminjam mereka berhubungan dengan kredit.
“Untuk mendapatkan konteks ‘sebelum dan selepas’ yang lebih relevan, laporan ini turut menunjukkan data daripada tahun pra-pandemik 2018 dan 2019, tahun pandemik 2020, dan sehingga suku ketiga 2021,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services Malaysia, Dawn Lai, berkata dapatan itu juga menunjukkan daya tahan ekonomi isi rumah Malaysia. di mana mereka membuat keputusan yang bijak ketika berdepan dengan kesukaran dan pantas menyesuaikan tabiat kewangan mengikut perubahan persekitaran atau keadaan.
“Pengguna juga mungkin menggunakan wang rangsangan yang diterima daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), i-Citra dan bantuan lain di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membayar bil serta hutang mereka.
“Selain itu, moratorium pinjaman bank yang dilanjutkan sehingga penghujung 2021 sememangnya sangat membantu. Disiplin fiskal yang ditunjukkan oleh isi rumah Malaysia telah membantu meningkatkan purata skor merentasi semua kumpulan usia dalam tempoh 2 tahun lalu berbanding dengan 2018 dan 2019.
“Dapatan daripada Laporan Situasi Kredit 2021 kami yang pertama ke atas pengguna ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sememangnya berdaya tahan, dalam kebanyakan perkara,” katanya.
-BH