Mahkamah pulangkan pasport Rosmah untuk ke Singapura

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini, membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya pasportnya dikembalikan untuk sementara bagi membolehkan isteri bekas Perdana Menteri itu ke Singapura.

-Advertisement-

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu dengan menetapkan syarat bahawa pasport perlu dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember 2021.

Mohamed Zaini berkata, pemohon (Rosmah) hanya boleh keluar Singapura dari 22 Oktober dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.

“Mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan pasport dipulangkan pada 15 Oktober (hari ini),” katanya.

Terdahulu, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah, anak perempuan pemohon, Nooryana Najwa sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura

Katanya, anak perempuan Rosmah mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi ketika bersalin dan pemohon amatlah diperlukan berada di sisi anaknya bagi tempoh sebelum, sewaktu dan selepas bersalin.

“Perjalanan itu adalah penting bagi memastikan kesihatan anak pemohon dan kandungannya terjaga dan aman,” katanya.

Sehubungan itu, Jagjit memohon pasport anak guamnya dilepaskan sementara dan akan dipulangkan pada 24 November ini.

-Advertisement-

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Bagaimanapun, pendakwaan berkata, pemohon tidak boleh mengganggu tarikh perbicaraan dan memohon garis masa yang ditetapkan.

Mendengar perkara itu, mahkamah memerintahkan pasport dipulangkan pada 21 November memandangkan pemohon perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum menyambung perbicaraan pada 8 November ini.

Pada 5 Oktober lalu, Rosmah memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding perbicaraan peringkat bela diri kes rasuah membabitkan solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Perbicaraan di hadapan Mohamed Zaini bersambung 21 Oktober ini dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah.

Rosmah, 69, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu menerusi bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor

Ia sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427