KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan lebih tinggi RM34.05 bilion untuk separuh pertama berakhir 30 Jun 2021, melonjak RM6.79 bilion atau 25 peratus berbanding RM27.26 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, prestasi kukuh yang dicapai pada separuh pertama 2021 dipacu oleh pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset yang lain, tatkala pasaran global mengalami kebangkitan semula.
“Pelaksanaan program vaksin COVID-19 yang sedang giat dijalankan, di samping pembukaan semula sektor ekonomi telah meningkatkan prestasi ekuiti di pasaran maju.
“Bagaimanapun, prestasi ekuiti di pasaran baru muncul adalah lebih lembap berikutan peningkatan kes COVID-19 di beberapa negara di Asia Tenggara dan disusuli oleh kejatuhan harga saham yang ketara akibat tindakan pihak berkuasa China yang mengetatkan peraturan ke atas sesetengah sektor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku kedua mencecah RM14.77 bilion, susut RM350 juta berbanding RM15.12 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan untuk suku kedua sebanyak RM7.89 bilion merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.
Instrumen Pendapatan Tetap terus menyumbang pendapatan yang stabil sebanyak RM5.28 bilion atau 36 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku dikaji, lebih rendah berbanding RM6.17 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu, berikutan pengurangan keuntungan dagangan, selaras dengan kadar faedah yang lebih tinggi.
Hartanah dan Infrastruktur dan instrumen Pasaran Wang, pula masing-masing mencatatkan pendapatan RM1.4 bilion dan RM200 juta.
Amir Hamzah berkata, kepelbagaian pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan menyumbang nilai tambah kepada pulangan keseluruhan.
Setakat akhir Jun 2021, katanya, aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37 peratus adalah pelaburan di luar negara.
“Pada suku kedua 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.71 bilion, iaitu 59 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan,” katanya.
Sementara itu, bagi membantu ahli yang terkesan pandemik, KWSP telah melancarkan kemudahan i-Sinar dan i-Citra yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan ahli.
Setakat ini, sebanyak RM67.6 bilion telah dikeluarkan merangkumi 6.6 juta pemohon i-Sinar membabitkan nilai RM58.8 bilion dengan RM58.5 bilion daripadanya sudah disalurkan, manakala i-Citra pula sebanyak lima juta pemohon berjumlah RM20.8 bilion dengan jumlah yang sudah disalurkan RM9.1 bilion.
Sekitar 89 peratus pemohon i-Sinar dan 86 peratus pemohon i-Citra telah menyatakan bahawa pengeluaran yang dibuat telah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian atau keperluan kewangan yang mendesak.
Mengulas mengenai prospek sehingga akhir tahun, Amir Hamzah berkata, keberkesanan usaha pemulihan negara adalah bergantung kepada perkembangan situasi COVID-19 dalam masa terdekat ini.
“Walaupun kami yakin bahawa pakej rangsangan dan inisiatif kerajaan akan dapat membantu meningkatkan sentimen perniagaan dan permintaan dalam negera, kami amat bimbang dengan keselamatan persaraan rakyat, terutamanya apabila 46 peratus ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.
“Pandemik ini telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus, susulan daripada pengeluaran yang telah dibuat bagi menampung pendapatan mereka semasa krisis COVID-19 ini,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, COVID-19 juga telah mencetuskan peningkatan jumlah pekerja gig di negara ini, biarpun ia membantu mereka untuk bertahan, ramai yang berhadapan dengan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil.
Selain itu, katanya, manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas.
“Kesannya bukan sahaja terhadap kesejahteraan masa depan pekerja, malahan akan membebankan pihak kerajaan. Strategi utama KWSP di masa hadapan adalah untuk memastikan pekerja gig serta mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk diserap ke dalam Skim KWSP agar mereka juga berpeluang menabung seawal mungkin dan merancang persaraan mereka.
“Penyelesaian jangka masa panjang amat diperlukan bagi memastikan perlindungan sosial yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Amir Hamzah berkata, fokus KWSP adalah untuk membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka agar mereka memperoleh persaraan yang bermaruah.
“Kami akan tetap fokus kepada Alokasi Aset Strategik kami dan sentiasa peka terhadap perkembangan profil risiko pasaran agar penambahbaikan dapat dilakukan.
“Di samping itu, matlamat asas KWSP untuk menjana pulangan dan melindungi kesejahteraan masa depan ahli dapat dipenuhi,” katanya. -BH