Proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka penting dalam memastikan pelajar terutama yang bakal menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), memperkukuhkan pemahaman terhadap mata pelajaran yang sebelum ini dipelajari secara dalam talian,
Langkah itu juga membantu mengelak kelesuan dan kehilangan motivasi bukan saja dalam kalangan pelajar tetapi juga guru. Malah, bagi murid yang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kekangan sepanjang sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), inilah peluang untuk lebih fokus kepada pelajaran.
Justeru, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mengumumkan sekolah akan kembali dibuka secara berperingkat Oktober nanti, isu keselamatan pelajar perlu dititikberatkan. Walaupun pada peringkat awalnya sekolah dijadualkan dibuka pada 1 September, desakan ia ditangguhkan kedengaran di mana-mana disebabkan berlakunya peningkatan kes COVID-19 hampir di seluruh negara.
Justeru dalam keadaan inilah, pemberian vaksin kepada pelajar dan guru amat mustahak. Ia adalah sebahagian langkah pencegahan untuk melindungi daripada jangkitan COVID-19 selain mampu menghakis ketidakyakinan ibu bapa terhadap persekitaran sekolah yang selamat dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Justeru, sekolah dan KPM perlu mempunyai kaedah yang jelas bagi memastikan sama ada seseorang pelajar itu sudah menerima vaksin atau sebaliknya. Selain memastikan sekolah memiliki senarai pelajar yang sudah divaksin, hal lain juga perlu diambil kira.
Apatah lagi tarikh pembukaan sekolah dijadualkan 3 Oktober, tentu saja pelajar perlu divaksinkan sebelum tarikh itu. Menerusi aplikasi mySejahtera pelajar dibenarkan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin, namun tidak semua mereka mempunyai telefon pintar. Masih ada sebahagian yang diletakkan sebagai jagaan ibu bapa di dalam aplikasi berkenaan. Tambahan pula, pelajar juga tidak dibenarkan membawa telefon pintar ke sekolah. Jadi kaedah yang terbaik perlu difikir sebelum perkara ini dilaksanakan, misalnya mungkinkah perlu kaedah pemberian vaksin secara beramai-ramai di sekolah ?
Persoalan pemberian vaksin ini sangat menarik kerana sebelum ini sudah terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan tokoh pendidik mewajibkan pemberian vaksin (bukan COVID-19) kepada pelajar malah dijadikan syarat utama kemasukan ke sekolah.
Hal ini disebabkan terdapat segelintir ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka mengikuti program imunisasi yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan atas kebimbangan yang melampau. Akibatnya anak-anak terdedah kepada pelbagai penyakit cegahan vaksin seperti batuk kering, difteria, rubella, polio, campak, beguk, dan lain-lain.
Justeru, bagaimana KPM akan menangani kecenderungan ini? Apatah lagi terdapat ibu bapa yang meragui akan keberkesanan vaksin COVID-19 berikutan laporan seperti kes keradangan jantung membabitkan vaksin bentuk mRNA.
Kita tidak boleh menolak kekhuatiran itu kerana ia berasas dan tentu saja setiap ibu bapa mahukan anak mereka terhindar dari sebarang kemudaratan.
Sememangnya, tiada vaksin COVID-19 yang dicipta setakat hari ini mampu menghalang jangkitan virus secara total. Justeru, dari semasa ke semasa akan sentiasa kedengaran kes mereka yang dijangkiti walaupun setelah divaksin.
Namun, apa yang pasti, kesemua vaksin sudah dibuktikan secara klinikal mampu menghalang pesakit menjadi lebih mudarat. Ini dibuktikan misalnya menerusi laporan kemasukan ke Hospital Kuala Lumpur dan Klang bagi pesakit COVID-19 semakin menurun.
Justeru, pemberian vaksin ini juga perlu disertai dengan kempen kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar. Langkah ini diharap dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap program imunisasi COVID-19. Ini kerana sebahagian mereka itu datang daripada golongan berpendidikan, mudah mendapat capaian maklumat berkenaan vaksin COVID-19 yang terkini.
Namun sayang, capaian maklumat yang pantas jika tidak disertakan dengan kefahaman yang betul, ini akan menyebabkan masalah menjadi lebih kritikal, dan secara tidak langsung akan menambahkan lagi statistik jangkitan penyakit di dalam komuniti.
Penyebaran maklumat yang tepat, jelas dan terkini dalam bahasa yang mudah difahami oleh khalayak adalah penting. Ini kerana dalam perkembangan media sosial hari ini, terdapat maklumat yang tidak lengkap dan jelas mengenai vaksin seperti sering dikaitkan dengan bahan berbahaya kepada badan, beracun atau impak negatif dalam jangka panjang.
Sebagai institusi yang mendidik, sekolah sewajarnya dapat memberi penerangan maklumat sebenar mengenai bahan vaksin, cara pemprosesan vaksin serta impak mudarat vaksin. Ibu bapa juga disaran bertindak lebih rasional demi kepentingan bersama dan bukan hanya memikirkan diri sendiri sahaja.
Ingatlah, mencegah itu lebih baik dari merawatnya. Apabila sesebuah komuniti menerima vaksin secukupnya dan membina imuniti kelompok, maka pembukaan sesi persekolahan dilihat sebagai rasional.
Dr Mohd Nazri Abdul Rahman
Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
-BH