RM2.3 bilion permohonan i-Citra sudah dibayar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah menyalurkan RM2.3 bilion pembayaran i-Citra kepada lebih 4.5 juta ahli setakat 4 Ogos lalu.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, berkata KWSP menerima sejumlah RM19.3 bilion jumlah permohonan setakat Rabu lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, RM19.1 bilion sudah diluluskan manakala baki RM200 juta masih dalam peringkat semakan.

“Kami menerima 4.62 juta permohonan daripada ahli KWSP untuk program i-Citra dengan 4.57 juta sudah diluluskan manakala 50,000 lagi sedang disemak.

“Sebanyak 551 permohonan bernilai RM2.16 juta ditolak disebabkan simpanan tidak mencukupi, melebihi had usia 55 tahun selain ada yang membatalkan permohonan mereka sendiri,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai i-Citra, hari ini.

Akhir Jun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelaksanaan i-Citra di bawah Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berkata, seramai 12.6 juta ahli KWSP layak menikmati inisiatif terbabit.

-Advertisement-

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

Mengulas lanjut, Nurhisham berkata, berdasarkan tinjauan KWSP, pengurangan gaji atau upah menjadi alasan tertinggi pemohon mengeluarkan i-Citra iaitu sebanyak 27 peratus.

Katanya, ia diikuti membantu pasangan atau ahli keluarga terjejas (19 peratus); menganggur untuk jangka panjang (16 peratus); kehilangan sumber pendapatan utama (disebabkan cuti tanpa gaji) (14 peratus) dan mahu meningkatkan sumber pendapatan biarpun tidak terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu sebanyak sembilan peratus.

“Bagi tujuan pengeluaran dibuat, 62 peratus mengatakan ia mahu digunakan untuk membiayai perbelanjaan penting bulanan/harian; melangsaikan tunggakan hutang (16 peratus) dan membantu ahli keluarga terjejas serta menambah simpanan kecemasan masing-masing lapan peratus dan enam peratus,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427