KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mewujudkan inisiatif vaksin secara ‘walk-in’ bagi warga Lembah Klang berusia lebih 40 tahun atau golongan komorbid sejak semalam dihargai orang ramai kerana memudahkan mereka mendapatkan suntikan vaksin tanpa perlu menunggu janji temu di aplikasi MySejahtera.
Inisiatif yang akan berlangsung sehingga esok itu berlangsung dalam suasana terkawal meskipun kehadiran semakin bertambah sejak ia dimulakan pada jam 2 petang semalam.
Tinjauan BH di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC mendapati, pemberian vaksin berdasarkan yang terawal didahulukan (first come first serve) mendapat sambutan orang ramai.
Bekas pesakit COVID-19, Siti Hasnah Abas, 57, lega apabila akhirnya menerima suntikan vaksin dos pertamanya semalam selepas menunggu sejak Februari.
Menurut anaknya, Mohd Firdaus Mohd Shah, 27, Siti Hasnah menjadi satu-satunya ahli keluarganya yang belum menerima vaksin sebelum ini.
“Kami dah daftarkan emak sejak Februari. Hari-hari periksa MySejahtera, tetapi masih tak ada sebarang janji temu dan memang risau tambahan lagi mengenangkan emak dan adik positif COVID-19 sebelum ini
“Kami memang risau jika emak tak divaksinasi tambahan lagi beliau menghidap sakit jantung dan kencing manis,” katanya.
Siti Hasnah adalah antara 500 warga Lembah Klang yang menerima vaksin dos pertama di PPV KLCC secara walk ini selepas sejam pendaftarannya dibuka kepada orang awam, jam 2 petang semalam.
Kakitangan swasta, Ruslei Mahamod, 58, mengambil kesempatan mendapatkan vaksinasi di PPV KLCC semalam, kerana khuatir masih tidak menerima sebarang janji temu sejak beberapa bulan mendaftar melalui MySejahtera.
Tambah merisaukan Ruslei ialah apabila beliau terpaksa keluar bekerja setiap hari ketika peningkatan kes dan penyebaran varian berbahaya di kesan di negara ini.
“Seramai 39 orang rakan sekerja saya semuanya sudah divaksinasi dan tentunya saya risau apabila masih tidak menerima giliran jadi apabila tahu kerajaan beri peluang untuk walk-in, saya tak mahu lepaskan peluang,” katanya.
Onn Yow, 38, mengambil kesempatan membawa neneknya, Chi Lye Kian, 94, mendapatkan dos pertama vaksinasi semalam sebaik mengetahui mengenai inisiatif itu.
“Saya baru tahu melalui laman sosial yang kerajaan benarkan mereka berusia 40 tahu ke atas untuk walk-in jadi pagi ini (semalam) juga saya ajak makcik untuk bawa nenek ke PPV KLCC.
“Masalah nenek ialah dia tidak mempunyai MySejahtera jadi sukar untuk kami dapatkan tarikh untuk vaksinasi.
“Walaupun nenek sudah berusia, dia maklum mengenai penyebaran COVID-19 kerana kami sering bercerita mengenainya jadi apabila dibawa ke sini untuk divaksinasi, nenek tidak membantah,” katanya.
Selain PPV HCO F, HCO G dan HCO H di KLCC, PPV lain yang tersenarai untuk walk-in termasuk Bangi Avenue Convention Centre (BACC); Hotel Wyndham, Klang; Dewan Tun Razak, Sabak Bernam, Dewan Komuniti Serendah, Selangor; Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang dan Ideal Convention Centre, Shah Alam (IDCC)
Pemberian vaksinasi secara terus di Lembah Klang akan dilakukan secara berperingkat, iaitu untuk warganegara Malaysia berusia 40 tahun ke atas atau golongan komorbid sehingga esok; 18 tahun ke atas (5 hingga 22 Ogos).
-BH