OLIMPIK: Terima kasih Mun Yee

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Atlet terjun wanita negara, Leong Mun Yee akan bersara pada hujung tahun ini dengan Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi penampilan terakhirnya di pentas antarabagsa.

-Advertisement-

Penerjun berusia 36 tahun itu berkata, selepas ini dia akan memberi fokus sepenuhnya bagi menamatkan penggajiannya yang sudah lama tertangguh.

“Olimpik Tokyo memang yang terakhir untuk saya. Saya pun sudah beritahu sebelum ini yang tahun ini adalah tahun terakhir saya.

“Dengan Sukan SEA (Vietnam 2021) pun ditangguhkan… jadi, Olimpik Tokyo adalah kejohanan terakhir saya sekiranya tiada lagi kejohanan sehingga hujung tahun ini. Saya akan bersara hujung tahun ini,” katanya yang mula terbabit dengan sukan terjun sejak usia 10 tahun.

Penampilan terakhirnya di pentas Olimpik menyaksikan Mun Yee menamatkan saingan di tangga kelapan bersama gandingannya, Pandelela Rinong dalam acara 10 meter (m) platform seirama, kelmarin.

-Advertisement-

Pasangan itu meraih 277.8 mata dengan pingat emas menjadi milik gandingan penerjun China, Chen Yuxi-Zhang Jiaqi yang mengumpul 363.78.

Perak pula dimenangi penerjun Amerika Syarikat, Jessica Parratto dan Delaney Schnell manakala gangsa milik pasangan Mexico, Gabriela Agundez dan Alejandra Orozco.

Olimpik Tokyo adalah penampilan kelima Mun Yee di temasya terbesar dunia itu selepas mula beraksi di Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.

Mengulas mengenai perancangannya selepas bersara, dia yang memenangi perak pada Kejohanan Dunia 2019 bersama Pandelela berkata, kemungkinan besar dia akan meneruskan kerjaya sebagai jurulatih.

“Saya juga merancang untuk membuka akademi sukan terjun untuk melahirkan lebih ramai lagi bakat-bakat baharu dalam sukan ini,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427