KUALA LUMPUR: Hampir 400,000 dos vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada pekerja sektor pembuatan menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat Isnin lalu.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan, sejumlah 384,642 dos diberikan, dengan 348,852 pekerja kilang menerima dos pertama vaksin itu sejak PIKAS bermula 16
Jun lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 35,790 sudah mendapat suntikan lengkap vaksin, sekali gus menjadi perkembangan positif dalam usaha mengawal penularan pandemik itu dalam kalangan pekerja barisan hadapan ekonomi di kilang.
“PIKAS akan terus menyokong usaha mempercepatkan vaksinasi di Malaysia dengan menyasarkan tenaga kerja sektor pembuatan,” kata MITI menerusi Twitter, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan, seramai 2.25 juta pekerja sektor pembuatan disasarkan menerima vaksin menerusi PIKAS.
Jumlah itu dijangka mampu dicapai menjelang September depan, sekali gus membentuk imuniti kelompok dalam kalangan pekerja sektor berkenaan, dan mengekang jangkitan COVID-19 di kilang.
Perlindungan terhadap pekerja sektor pembuatan daripada COVID-19 bakal membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka, yang akan memastikan proses pemulihan ekonomi daripada pandemik itu berjalan lancar.
Setakat 21 Julai lalu, hampir 15,000 syarikat sudah berdaftar untuk menyertai pemberian vaksin kepada pekerja masing-masing melalui PIKAS.-BH