PETALING JAYA: Inisiatif vaksinasi “walk-in” yang akan dilaksanakan pada Ogos ini hanyalah bagi golongan tercicir dan belum mendapat janji temu, kata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
CITF dalam kenyataan berkata, golongan yang belum mendapat janji temu adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan, bukan orang ramai yang sudah diberikan janji temu.
“Contoh golongan yang belum mendapat janji temu ini adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan seperti diterangkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada 16 Julai,” menurut kenyataan itu.
CITF turut memaklumkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan beroperasi untuk tujuan “walk-in” pada Ogos akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak.
“PPV yang ada sekarang tidak semestinya akan dibuka untuk inisiatif ‘walk-in’ ini.”
Selain itu CITF berkata, individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang sudah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat.
Mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas, CITF menyeru mereka yang sudah menerima janji temu vaksin hadir pada tarikh dan lokasi PPV yang diberikan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin.-FMT