UMNO garis 7 sebab tarik sokongan kepada Muhyiddin

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR : UMNO menggariskan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memaksa parti itu menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

-Advertisement-

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah menarik sokongan itu disebabkan kegagalan kerajaan menangani pandemik COVID-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat.

Katanya, faktor kedua disebabkan kegagalan kerajaan dengan menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara, sekali gus menafikan suara UMNO yang sejak dari awal membantah keras proklamasi terbabit.

“Malah Ordinan Darurat yang kononnya boleh digunakan untuk membantu rakyat, ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat ‘dwi-standard’ dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat dalam keadaan mereka sudah sedia terbeban dengan isu survival dan kelangsungan hidup.

“(Ketiga) kegagalan kerajaan mempertahankan sistem demokrasi berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela terutama dalam memantau segala inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik termasuk aspek perbelanjaan, perolehan dan segala usaha vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online malam ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, keempat kegagalan kerajaan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.

“Ini termasuk tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi kerajaan yang lain seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir serta terpaksa melalui karenah birokrasi membebankan,” katanya.

Kelima, katanya, kegagalan kerajaan untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri serta gerakan #BenderaPutih adalah satu contoh manifestasi kekecewaan dan protes rakyat terhadap kegagalan kerajaan.

“(Keenam) kegagalan kerajaan mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik. Indeks Pengendalian COVID-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ketiga paling corot antara 53 negara ekonomi utama,” katanya.

Sementara itu, bagi faktor terakhir, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan kegagalan kerajaan yang jelas memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan raja pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media serta titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara.

“Selaku parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan terhadap institusi raja,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427