PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempengerusikan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui sidang video dari hospital bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19.
Beliau berkata, ini termasuk pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuat kuasa di Selangor, 14 lokaliti di Kuala Lumpur dan laporan pemantauan setiap negeri dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Alhamdulillah, selain lima negeri yang telah pun beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, terdapat beberapa negeri lagi yang menunjukkan perkembangan yang amat baik dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat.
“Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak bulan ini,” katanya di Facebook.
Muhyiddin juga merakamkan penghargaan kepada sukarelawan badan amal, parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan ketika ini selain bantuan yang diberikan oleh kerajaan.
“Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah,” katanya.
Pada 30 Jun lalu, Muhyiddin dimasukkan ke hospital selepas mengalami cirit-birit.-FMT