Pemulih bantu PMKS hingga hujung tahun

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) mampu membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam tempoh jangka pendek.

-Advertisement-

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana, Chin Chee Seong berkata, bantuan yang diberikan itu akan membuat PMKS menghembus nafas lega kerana ia cukup untuk membantu mereka dalam masa tiga atau empat bulan akan datang dengan harapan dalam tempoh itu ekonomi akan dibuka sepenuhnya.

“Moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan yang akan diberi kepada semua individu tanpa mengira golongan (pendapatan) dan tidak meletakkan sebarang syarat akan membantu aliran tunai pengusaha-pengusaha.

“Pelaksanaan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 yang akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama tempoh empat bulan juga sudah pasti akan meringankan beban majikan,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, ia masih mempunyai kekurangan seperti tiada pelan yang spesifik untuk membuka semula ekonomi yang merupakan kunci untuk pemulihan.

Chin Chee berpendapat, kerajaan patut membenarkan beberapa sektor perniagaan dibuka semula dengan berbincang bersama pertubuhan industri.

-Advertisement-

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd. Halim Husin berkata inisiatif terbaharu daripada kerajaan menunjukkan mereka mendengar luahan dan rintihan rakyat selain menerima beberapa cadangan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

“Namun begitu, moratorium yang diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak bersifat automatik dan tertakluk kepada syarat. Ia pasti akan menyusahkan kerana pihak bank mempunyai kebebasan untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.

“Moratorium yang menambah faedah lebih daripada 6 bulan juga tidak adil dan zalim untuk dikenakan kepada mereka yang tidak mampu,” kata Abd. Halim.

Selain itu, Abd. Halim memberitahu, jumlah Geran Khas Prihatin (GKP) yang diberikan terlampau sedikit dan tidak mampu memberi kesan yang diharapkan.

“Kami hargai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi maklum balas itu wajar diperhalusi supaya Pemulih akan mendapat kesan yang diharapkan.

“Perbincangan tentang pelan pemulihan perlu dilakukan dengan penglibatan semua lapisan masyarakat lebih awal supaya ia dilaksanakan dengan kadar yang lebih sesuai dan disambut baik oleh semua pihak,” katanya. Tambahnya, keberkesanan Pemulih tertakluk kepada berapa ramai yang menerima dan berapa pantas bantuan disalurkan.–UTUSAN


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427