Rakyat Selangor, KL kena kurung

Estimate Reading Time: 3 minutes

PETALING JAYA – Lebih 6.7 juta penduduk di seluruh Selangor dan sebahagian Kuala Lumpur diperintah ‘berkurung’ di rumah untuk tempoh 14 hari selepas kerajaan memutuskan pelaksa­naan

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa buah daerah dan lokaliti berkuat kuasa esok.

Keputusan itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan semalam dan memaklumkan pelaksanaan PKPD itu akan berkuat kuasa sehingga 16 Julai nanti.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat pembentangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) me­ngenai situasi Covid-19 di kedua-dua negeri itu yang mana telah menunjukkan trend jangkitan yang tinggi.

“Selangor melaporkan purata kes harian Covid-19 antara 1,800 ke 1,900 kes, manakala di Kuala Lumpur, purata kes harian adalah dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes.

“Kesemua daerah di Selangor dan Kuala Lumpur juga melaporkan kes Covid-19 melebihi 12.1 /100,000 penduduk.

“Data unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) di ke­dua-dua negeri ini masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menunjukkan trend penurunan,” kata Ismail Sabri.

Lebih membimbangkan katanya, situasi tersebut dibuat selepas mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas iaitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (United Kingdom).

Menurut beliau, lapan daerah dalam Selangor yang dikenakan PKPD ialah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor membabitkan sebanyak 34 buah mukim. “Bagi Kuala Lumpur pula, ia melibatkan 14 lokaliti antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju dan Flat Seksyen 1 Wangsa Maju,” tambahnya.

“Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh Polis DiRaja Malaysia.

“Semua penduduk di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang sahaja wakil isi rumah untuk membeli keperluan asas di dalam radius 10 kilometer dari kediaman.

“Kementerian Kesihatan akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan-kawasan yang terlibat,” jelasnya.

Untuk rekod, kes jangkitan harian mencatat peningkatan mendadak sejak tiga hari lalu apabila merekodkan kes melebihi 6,000 dengan Selangor dan Kuala Lumpur menjadi penyumbang kepada pertambahan kes hampir setiap hari.

Peningkatan kes itu berlaku ketika negara berada pada fasa total lockdown yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu, sekali gus menimbulkan reaksi kurang se­nang dalam kalangan rakyat.

Antara isu yang dibangkitkan ialah desakan agar kerajaan me­laksanakan sekatan lebih ketat selain menutup operasi kilang selama dua minggu.

Tidak boleh keluar rumah selepas pukul 8 malam

PETALING JAYA – Orang awam tidak dibenarkan berada di luar kawasan kediaman selepas pukul 8 malam kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran polis sepanjang pelaksanaan

Perintah Kawalan Perge­rakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya sektor perkhidmatan perlu (essential services) dibenarkan untuk beroperasi iaitu bermula dari pukul 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan.

“Selain itu, hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih (loaf), gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan dan topeng muka dibenarkan ber­operasi.

“Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh yang ditetapkan,” jelasnya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Tambah beliau, majikan juga dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja mereka bekerja dari rumah.

Katanya, pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang-kilang serta premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“Restoran, kedai dan gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, me­dan selera dan pusat penjaja, ge­rai makan tepi jalan serta kiosk turut dibenarkan beroperasi antara pukul 8 pagi hingga 8 malam.

“Pembelian makanan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran dibenarkan.

“Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi juga dalam tempoh yang sama,” jelasnya.-KOSMO


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464