KUALA LUMPUR : Peminjam yang memilih kemudahan moratorium tidak akan dikenakan penalti dan tidak direkodkan dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kemudahan yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) itu juga tidak mempunyai faedah berkompaun, iaitu tidak dikenakan faedah ke atas faedah.
“Hanya faedah terkumpul dikenakan seperti biasa apabila kita mula membuat bayaran selepas enam bulan. Ada yang ingin membayar semula dengan kadar bayaran balik asal selepas tempoh moratorium selesai, ada juga yang ingin bayar dengan jumlah lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran balik.
“Bagi mereka yang memilih melanjutkan tempoh bayaran pinjaman lebih lama dari tempoh asal, sudah tentu faedah perlu dibayar lebih tinggi, tetapi perkara ini perlu dirunding dengan bank masing-masing,” katanya ketika membentangkan laporan LAKSANA ke-59, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, mana-mana peminjam yang masih menghadapi kesukaran selepas berunding dengan bank boleh menghubungi BNMTELELINK menerusi bnm.my/RAsurvey.
“Hutang kad kredit pula masih perlu dibayar, tetapi kalau memerlukan, boleh ditukar kepada pinjaman dengan kadar faedah lebih rendah. Maksudnya masih berhutang, tetapi kosnya lebih rendah dan masa membayar juga lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata, pemberian moratorium ini langkah sementara, iaitu sebahagian daripada inisiatif Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan perlu dilihat bersama dengan usaha kerajaan mempercepatkan peralihan ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya.
“Lagi cepat kita beralih fasa, lagi cepat pelbagai sektor boleh beroperasi, maka lagi cepat pemulihan ekonomi kita. Sekiranya rakyat sudah boleh keluar mencari rezeki, lebih cepat dapat kehidupan kita semula,” katanya.
Menyentuh i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, pengeluaran melalui i-Citra tidak membatalkan bayaran pengeluaran i-Sinar.
“Pengeluaran ini akan dilakukan bersama pengeluaran Program i-Sinar sebelumnya. Ini bermakna jika ahli sudah memohon pengeluaran melalui i-Sinar, pengeluaran melalui i-Citra tidak akan membatalkan bayaran pengeluaran i-Sinar,” katanya.
Menerusi i-Citra di bawah PEMULIH, seramai 12.4 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.
Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian, dengan permohonan kemudahan pengeluaran KWSP mulai 15 Julai ini, manakala pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan depan.-BH